JOHOR BAHRU: Akibat gerun dengan pisau Tok Mudim, empat kanak-kanak berusia enam hingga 10 tahun yang memberi alasan mahu ke tandas cabut lari meninggalkan 16 rakan mereka ketika majlis berkhatan beramai-ramai di Sekolah Agama Kampung Senibong di sini, pagi semalam.
Ketua Kampung Senibong, Yahya Shahdan, 60, berkata, mengikut perancangan 24 kanak-kanak berusia antara 6 hingga 10 tahun sepatutnya dikhatankan bagi membolehkan mereka memasuki alam dewasa.
Bagaimanapun katanya, beberapa kanak-kanak yang gentar dengan proses berkenaan menarik diri pada saat akhir.
Katanya, kumpulan kanak-kanak berkenaan memberi alasan kononnya mahu ke tandas sebelum melarikan diri bagi mengelakkan daripada dikhatankan bersama rakan mereka.
“Bagaimanapun, tindakan mereka tidak menjejaskan semangat kanak-kanak lain bagi menyertai program berkhatan beramai-ramai yang diadakan buat julung kali dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) diwakili Ketua Pejabat Johor Bahru, Khirol Anuar Basrah; Pengusaha Restoran 6 Corner Senibong, Ridzuan Yahya dan Umno Cawangan Kampung Senibong.
“Sebagai tanda kesyukuran dengan kejayaan program dan sempena sambutan Aidiladha, seekor lembu dan dua kambing dikorbankan di padang sekolah agama itu,” katanya.
Beliau berkata, peserta dimandikan pasukan bomba dan penyelamat di depan Masjid Kampung Senibong di sini, sebelum dikhatankan bermula jam 9 pagi.
Yahya berkata, penduduk berganding bahu memasak daging korban untuk juadah kanak-kanak dan orang ramai selain sebahagian daging disumbangkan ke Pusat Jagaan Warga Emas di Permas Jaya di sini.
Sementara itu, Khirol Anuar berkata, sokongan keluarga dan kerjasama peserta menjadi pemangkin kepada kejayaan penganjuran berkenaan.
Beliau berkata, setiap kanak-kanak dikenakan yuran penyertaan minimum bagi meringankan beban ibu bapa mereka yang terdiri daripada nelayan.
“Pelbagai ragam peserta yang menyertai majlis berkhatan terbabit dapat dilihat termasuk ada antaranya yang begitu positif dan negatif, namun sokongan semua pihak termasuk guru dan ibu bapa menyuntik motivasi kanak-kanak terbabit menempuh alam dewasa.
“Program julung kali diadakan terbabit turut disarankan agar dilaksanakan pada masa depan di kawasan Parlimen berbeza di bandar raya ini,” katanya.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
5 days ago
0 comments:
Post a Comment