Saturday, November 13, 2010

Kepuasan reka cipta coklat

| Saturday, November 13, 2010 | 0 comments

BAGI Siti Zahrah Mat Zin, dia sanggup bersengkang mata pada waktu malam atau hujung minggu semata-mata menyiapkan tempahan coklat.

Wanita ini mula menyediakan perkhidmatan dan tempahan untuk coklat, kek serta kuih menerusi Arahchocolate & Bakery yang dirintisnya lebih setahun lalu.

Lebih menarik, sebut apa saja jenis coklat seperti praline, oreo dan loli dengan pelbagai bentuk seperti kotak hati, empat segi atau kek cawan, cintanya terhadap bidang yang diminatinya itu semakin subur saban hari.

“Apapun sandarannya, membuat coklat biarlah bersandarkan kreativiti dan cinta yang mendalam. Tanpa elemen itu, sukar untuk menghasilkan satu bentuk coklat yang ada tarikan tersendiri serta bermutu.

“Rangsangan untuk membuat coklat yang menarik ini berdasarkan pemerhatian, kajian dan sentiasa bersedia menerima perubahan. Belajar sesuatu yang baru amat penting kerana penggemar sentiasa sukakan perkara yang menarik perhatian.

“Apabila aspek kualiti dan cantik digabungkan, tentu ia memberi pengaruh besar kepada pelanggan,” katanya yang memulakan perniagaan pembuatan coklatnya itu hanya dalam kalangan rakan sepejabat sebelum melakukan jualan menerusi Internet dan laman Facebook.

Pernah mengikuti kelas khusus untuk pembuatan coklat anjuran Lembaga Koko Malaysia, Zahrah akur semua itu menyuntik semangatnya supaya suatu hari nanti impian memiliki kedai sendiri akan tercapai.

“Apabila mereka cipta pelbagai jenis coklat, saya gemar melihat kumpulan sasaran yang benar-benar menggemari produk ini.

“Misalnya kanak-kanak yang sememangnya sukakan buatan yang cantik serta ada nilai seni seperti gambar kartun, haiwan berbentuk kumbang atau elemen yang agak dekat dengan kanak-kanak lelaki.

“Untuk kanak-kanak perempuan pula, mereka lazimnya sinonim dengan elemen Cinderella atau anak patung. Kepekaan terhadap minat mereka amat penting.

“Agak berbeza dengan tempahan untuk majlis tertentu seperti perayaan, perkahwinan mahupun majlis pertunangan, hari ulang tahun, hamper atau apa saja majlis rasmi agak berprestij yang semuanya berasaskan coklat,” katanya.

Selain corak, turut menjadi perkiraan adalah warna terhadap corak yang dilakar di samping melengkapkannya dengan perisa tersendiri. Bagi yang sukakan coklat kosong tanpa sebarang bahan campuran, mungkin tidak sukar untuk menghasilkannya.

Namun, terdapat segelintir penggemar coklat lebih tertarik dengan perisa dalam coklat misalnya memiliki inti diselit rasa kacang atau buah beri.

Namun, sesetengah bahan itu ada kalanya sukar diperoleh terutama yang didatangkan khas dari luar negara tetapi ia bukan alasan untuk terus berkarya.

Jika ia bahan dari dalam negara harganya tidak semahal mana bahkan berbaloi untuk dibeli. Dia sendiri yang me�nyediakan lebih 10 jenis pilihan coklat mengakui soal harga juga jadi perkiraan si pembeli.

“Bagi balutan mahupun teknik olahan hamper yang eksklusif, tentu ia mempengaruhi harga. Ditambah pula dengan penggunaan kotak menarik malah kotak itu sendiri boleh dimanipulasikan daripada coklat.

“Sentuhan kreativiti mampu menjadikan ia bentuk kotak yang tampil penuh pesona. Asal saja ada nilai seni pada coklat ia memberikan kesan mendalam terhadap apa dihasilkan terutama kepada penggemar�nya yang amat fanatik.

“Inspirasi coklat ini tampak kecil, tetapi kesannya amat besar,” katanya.

Wanita yang menjadikan rumah sendiri sebagai tapak asas untuk mengukuhkan minatnya itu turut menyediakan khidmat kursus atau kelas pembuatan coklat dan kek bagi mereka yang ingin menjana pendapatan sampingan atau sekadar mengisi masa senggang.

“Kelas ini turut memberi penerangan mengenai jenis coklat, teknik pembuatan inti, kaedah lukisan menggunakan serbuk warna bercampur telur serta beberapa petua untuk membentuk habuk kikiran coklat.

“Selain itu, penjelasan turut diberikan mengenai pembung�kusan coklat dan khidmat nasihat terutama dalam mencari pasaran serta alamat pembekal bagi mendapatkan harga yang lebih murah,” katanya.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com