GEORGETOWN: Sembilan lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam berusia 26 tahun ditahan di dua bilik hotel, di sini, selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pemalsuan kad kredit, Isnin lalu.
Dalam serbuan Ops Helang kira-kira jam 10 malam itu, semua suspek lelaki berusia antara 21 dan 25 tahun yang menjadikan hotel berkenaan sebagai pusat operasi mereka sejak sebulan lalu berjaya dicekup.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, sindiket berkenaan dipercayai terbabit dalam kegiatan pemalsuan kad kredit membabitkan kerugian RM3.16 juta dan berdasarkan siasatan, sindiket itu bergerak secara kumpulan.
Katanya, kumpulan itu akan memalsukan kad kredit sebelum mendaftar dengan beberapa institusi perbankan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan, 171 kad kredit kononnya keluaran pelbagai syarikat perbankan dirampas dengan setiap kad mempunyai had kredit AS$5,000 (RM18,500).
“Turut dirampas empat pasport Hong Kong dan satu pasport Singapura, satu unit komputer riba, sebuah buku cek dan satu salinan pasport Vietnam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, semalam. Hadir sama Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng.
Ayub berkata, siasatan juga mendapati, setiap kad dikeluarkan sindiket itu akan digunakan di luar negara termasuk Thailand, Singapura dan Hong Kong dengan membeli pelbagai barangan sebelum dibawa pulang dan dijual murah di Malaysia.
Kumpulan itu dipercayai sudah wujud sejak dua tahun lalu dengan melakukan pengklonan kad kredit dan hasil semakan dengan institusi perbankan mendapati ia palsu.
“Kami percaya mereka kini sedang meluaskan kawasan kegiatan ke negara lain di Asia dan siasatan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau sebat dan denda,” katanya.
Menurut Ayub, siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 474 kanun sama kerana memiliki kad kredit palsu yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
2 days ago
0 comments:
Post a Comment