SUBANG JAYA: Seorang anggota penguat kuasa trafik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) nyaris dirempuh kereta dipandu seorang lelaki yang berang kerana disaman atas kesalahan meletak kereta di kawasan tidak dibenarkan, kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika sepasukan anggota penguat kuasa MPSJ diketuai Penolong Pengarahnya, Ainol Salnee Salim membuat pemantauan pada Ops Helang di USJ10 dan SS15, di sini.
Ainol Salnee berkata, pada mulanya kenderaan itu dikesan meletak kereta di kawasan larangan terlalu lama dan tidak mengalihkan kenderaannya walaupun diminta pegawai penguat kuasa. “Selepas mendapati dia enggan beredar dari kawasan itu, kami mengeluarkan satu saman menyebabkan dia berang lalu mengeluarkan kata-kata kesat.
“Tidak cukup dengan itu, dia memecut kereta secara melulu dan hampir melanggar seorang anggota penguat kuasa yang berada di hadapan, mujur anggota berkenaan sempat mengelak,” katanya.
Mengulas mengenai operasi berkenaan beliau berkata, ia dijalankan di pusat perniagaan USJ10 dan SS15 kerana terdapat aduan mengenai masalah tempat letak kereta yang kritikal terutama pada waktu rehat.
Katanya, MPSJ dan penyedia tempat letak kereta berbayar menyediakan 1,500 tapak untuk kemudahan orang ramai meletak kereta dan menjalankan urusan masing-masing di kawasan berkenaan.
“Kami memberi peluang kepada mereka untuk mengalihkan kenderaan ke tempat yang disediakan, tetapi mereka masih ingkar dengan meletak kereta sesuka hati tanpa mempedulikan lalu lintas yang sesak di kawasan itu,” katanya.
Sementara itu, Ainol Salnee berkata, sebanyak 409 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan pada operasi itu dengan 15 kenderaan ditunda ke depoh tahanan kenderaan di Taman Perindustrian Subang 2.
“Kesalahan lain termasuk gagal menunjukkan kupon letak kereta dan menggunakan kupon yang tamat tempoh. Mereka dikompaun RM80 manakala kenderaan yang ditunda dikenakan bayaran RM178,” katanya.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
2 days ago
0 comments:
Post a Comment