Sunday, December 12, 2010

Kanvas Mislina

| Sunday, December 12, 2010 | 0 comments



JELING pada cermin, memang dia tewas dan berkerut panjang kerana jauh untuknya mengejar raut komersial pesona yang lain. Namun, jika gerak persembahan lakonan di depan lensa kamera diangkat sebagai ukuran, bintang ini tentu selesa menyandang gelaran yang terbaik antara yang lain.

Pendek kata, bakat memang besar, sayang wajahnya tidak secantik mana untuk mendayung dirinya mengecapi populariti. Andai jujur apa yang dilontar, ia sesuatu yang relevan dan rasional.

Provokasi yang dilempar pada aktres, Mislina Mustafa agak drastik dan sukar diterima si empunya diri.

Kononnya, gajah di depan mata langsung tidak kelihatan tetapi kuman sebarang lautan jelas pula dipandang. Hukum yang perlu ditelan olehnya, tiada rupa paras yang jelita, alamatnya tertinggal jauh ke belakang meskipun bekalan ilmu lakonan dan bakatnya setinggi gunung.

Bagaimanapun, tatkala pernyataan sama diulang kata di depannya, bingkas Mislina bangkit menolak kata itu berkali-kali.

Jelas aktres berusia 39 tahun ini, tidak sesekali dirinya terasa tersisih kerana sandaran populariti tidak pernah terlintas dalam jiwanya. Yang menjadi kiblatnya dalam kerjaya anak wayang adalah kesungguhan, jujur dan tidak henti-henti mengucap ikhlas.

“Soal jelita, komersial dan bakat adalah subjektif dan bergantung kepada individu yang menilai. Saya tidak pernah meletak diri ini bagus atau cantik, namun semua komponen itu biarlah kaki wayang dan peminat yang tentukan. Saya jujur melepaskan minat yang bersarang dalam jiwa ini.

“Lakonan adalah nyawa buat saya dan kerjaya ini akan terus diperjuangkan meskipun sesetengah pihak masih skeptikal akan soal paras rupa,” katanya.

Jangkaan ramai kononnya aktres yang pernah membintangi filem Mukhsin, Anak Halal dan Estet ini untuk menggenggam anugerah Aktres Terbaik di Festival Filem ke-23 yang lalu tersasar sama sekali apabila wataknya menerusi Karaoke tumpas di tangan bintang jelita, Lisa Surihani.

Tidak berjauh hati, Mislina pasrah dan menerima ketentuan pihak juri yang lebih bijak menilai. Malah baginya, tercalon antara lima terbaik sudah memadai.

“Saya optimis dengan kekalahan itu kerana yang lebih penting lakonan saya dipandang tinggi hingga pihak juri meletak saya antara yang terbaik hingga berjaya membolosi pentas anugerah berprestij sebegitu.

“Ikhlas, saya gembira dan bersyukur kerana setidak-tidaknya ada yang masih perasan akan usaha yang dilakukan selama ini. Karaoke sebuah naskhah hebat namun belum rezeki buat saya,” katanya.

Sisi peribadi wanita kelahiran Ipoh, Perak ini tidak pernah diselak. Tiada siapa menduga, Mislina mempunyai seorang anak dara berusia 15 tahun, Nur Isandra Syazlynn. Namanya indah dan karakter yang disemai hampir serupa dengannya.

Mengakui pernah gagal dalam perkahwinan sejak 14 tahun lalu, status janda yang diheret tidak pernah mengundang rasa tidak selesa, sebaliknya Mislina terus memacu langkahnya menghampiri hasrat yang lama disimpan.

“Soal dalam kain adalah hak hidup saya. Namun hakikat adalah sesuatu yang termaktub dan mustahil untuk saya menelah.

“Yang boleh dibentangkan, saya masih bersendiri meskipun sudah lama menjanda. Tidak pernah pula saya merasa kosong atau sepi kerana setiap saat saya dihiasi dengan seni yang saya cintai.

“Selain berlakon, saya aktif melukis dan bermain muzik, namun pada skala yang tergelincir daripada tempias publisiti. Hidup saya hanya pada lakonan, elemen seni yang tebal dalam jiwa serta terus membesarkan anak meskipun dari jauh kerana dia di bawah jagaan bekas suami.

“Hubungan kami akrab dan sekarang saya menyokong pembelajarannya. Kami merancang untuk pergi mengembara bersama.”

“Dunia saya ringkas dan tidak sama seperti mana golongan selebriti lain. Rumah saya kosong tanpa sofa atau permaidani mewah, sebaliknya yang lebih mustahak adalah buku dan material bacaan saya. Saya sukakan kedamaian dan hidup secara sihat.”

“Percaya atau tidak, saya tidak mempunyai kereta, sebaliknya hanya menunggang basikal ke mana-mana melainkan terbabit dengan penggambaran atau aktiviti seni yang memerlukan saya dibawa oleh pembantu dengan kereta.

“Selebihnya, saya hanya berbasikal untuk menjaga kesihatan dan mengurangkan pencemaran yang kian melampau,” katanya.

Tampil dengan imej santai dan berkepala botak pasti mengheret persoalan mengapa aktres yang lahir dari pentas teater ini berbuat demikian.

Meleret tersenyum dan lantas menyusun bicara, Mislina botak demi tuntutan seni. Cintanya kepada lakonan tiada sempadan hingga sanggup mengikis pesona seorang wanita.

“Botak ini istimewa buat Zaiton. Saya sanggup membuang rambut untuk merealisasikan skrip asal watak Zaiton Sameon menerusi filem Zaiton-Ceritaku,” katanya.

Ruang dibuka luas, lantas persoalan ke mana naskhah garapan Fauziah Nawi itu terus ditembak padanya.

“Zaiton-Ceritaku adalah naskhah yang mewah pada aspek penceritaannya. Namun saya akui akhir-akhir ini Fauziah Nawi yang juga ibu dan sahabat baik saya serta produksi sendiri dihimpit pelbagai dakwaan hingga ada kalanya konotasi negatif mula dipandang ke arah saya.

“Saya penat dan terkilan dengan apa yang terjadi, lebih-lebih lagi ini karya lakonan saya selaku teraju utama yang terbesar. Biar pihak penerbitan dan pengurusan menyelesaikan segala kemelut.

“Saya lepaskan segala tekanan itu kepada mereka kerana sebagai anak wayang yang menyelesaikan tanggungjawabnya menghidupkan watak mengikut kehendak pengarah dan skrip asal, saya perlu rasional dan kekal profesional.

“Apa yang diharapkan, naskhah ini dapat juga ditayangkan dan segala badai yang melanda dapat dikikiskan demi kebaikan semua pihak,” katanya.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com