PUTRAJAYA: Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, hari ini dipilih sebagai penerima tokoh Ma'al Hijrah 1432H pada Majlis Perhimpunan Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Zeti, 63, adalah penerima Tokoh Ma'al Hijrah wanita pertama negara selepas 24 tahun ia dianjurkan.
Beliau menerima hadiah wang tunai RM100,000, pingat, plak dan sijil penghargaan.
Zeti dianggap sebagai penerima dua zaman kerana bapanya, tokoh akademik Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pernah menerima anugerah itu 11 tahun lalu.
Bercakap kepada pemberita selepas penganugerahan itu, beliau berkata ia adalah penghormatan terbesar yang tidak pernah disangka.
"Saya sangat berterima kasih dan ini juga sebagai dorongan dan inspirasi untuk saya terus berusaha," kata pemegang Sarjana dan ijazah kedoktoran Kewangan dan Ekonomi Antarabangsa dari University of Pennsylvania, AS itu.
Selain menerima pelbagai anugerah dalam negara beliau turut menerima pengiktirafan dari luar apabila dipilih menganggotai Suruhanjaya Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencadangkan hala tuju sistem monetari dan kewangan dunia.
Beliau juga mempengerusikan jawatankuasa kerja usahasama serantau (EMEAP) bagi merangka pelan induk kerjasama kewangan antara bank-bank pusat.
Di bawah pimpinan Zeti sistem kewangan Islam kini bertapak kukuh di negara ini dan menyumbang kepada sebuah sistem kewangan yang berdaya saing, pelbagai, komprehensif dan inklusif.
Antara kejayaan Zeti dalam tempoh sedekad ialah menjadikan Malaysia sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia, peningkatan aset perbankan Islam sebanyak tiga kali ganda kepada 21 peratus serta lebih 100 institusi kewangan Islam domestik dan antarabangsa kini beroperasi di Malaysia.
Di peringkat antarabangsa Zeti turut menyumbang kepada penerimaan global kewangan Islam termasuk dengan mengetuai pasukan antarabangsa dalam penyediaan laporan "Financial Stability and Islamic Finance" dan mempengerusikan penubuhan Islamic Financial Services Board, sebuah agensi antarabangsa bagi menetapkan dasar kewangan prudent institusi kewangan islam seluruh dunia.
Berkongsi rahsia kejayaan, Zeti berkata beliau mengisi setiap masa yang ada dengan membaca terutama bahan bacaan mengenai kewangan, ekonomi, pembangunan kepimpinan dan pembangunan kendiri.
Katanya, setiap individu terutama golongan muda perlu mempunyai keinginan dan rasa ingin tahu yang berterusan bagi meningkatkan pengetahuan.
Sementara itu, Ungku Abdul Aziz, 88, berbangga dengan kejayaan anak tunggalnya itu sebagai penerima pertama wanita untuk anugerah berkenaan.
Ketika ditanya mengenai corak pendidikan yang diberikan kepada Zeti, beliau berkata anaknya itu sentiasa diberi kebebasan untuk memilih perkara yang ingin dilakukan.
"Saya sentiasa beri dia kebebasan. Dia pilih apa subjek dia nak. Dia nak ambil PhD di mana. Saya bincang dengan dia tetapi dia yang akan membuat keputusan. Saya tidak pernah memaksa dan cuba mempengaruhi beliau," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata Zeti dianggap tokoh yang paling layak untuk menerima anugerah tersebut berdasarkan sumbangan besar beliau dalam pembangunan sistem kewangan dan kemajuan ekonomi negara, termasuk sistem kewangan Islam.
Beliau berkata, ini terutama di zaman kemelesetan ekonomi, di mana selain pemimpin negara, Zeti adalah antara mereka yang memberikan idea dan sumbangan dalam memulihkan kembali ekonomi negara.
"Kita berbangga dengan apa yang telah disumbangkan dan negara turut merasa gembira dengan penganugerahan ini dan saya juga mengharapkan kalangan wanita tumpang merasa gembira dengan pengiktirafan besar yang kita lakukan pada pagi ini," katanya. - BERNAMA
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
4 days ago
0 comments:
Post a Comment