Saturday, January 8, 2011

Kuasa tanduk seladang

| Saturday, January 8, 2011 | 0 comments


SEBAHAGIAN peralatan yang digunakan Pak Jang dan Roslan ketika mengurut pesakit yang dibeli dari Indonesia dan China malah ada yang dihasilkan sendiri.


RAWATAN urut tradisional merupakan amalan turun-temurun di kebanyakan negara di Asia malah kemampuan teknik itu kini mulai diterima di negara Barat berikutan keberkesanannya yang diiktiraf sains perubatan moden.

Urutan juga merupakan satu daripada cabang perubatan cara Islam manakala segelintir masyarakat menganggapnya sebagai perubatan alternatif.

Secara amnya, ia sesuai bagi merawat apa juga penyakit, sama ada penyakit baru atau sudah lama dihidapi, yang ringan mahupun yang kronik.

Selain mengatasi masalah terseliuh, kebas atau membetulkan perjalanan darah, teknik urut turut dikaitkan dengan rawatan mengembalikan kesihatan dan tenaga seksual lelaki terutama bagi wanita selepas bersalin.

Bagaimanapun, urutan yang menggunakan tangan sepatutnya dilakukan oleh mereka yang mahir dan profesional kerana jika tidak mengikut prosedur, urutan boleh memudaratkan.

Namun, urutan menggunakan tangan sahaja tidak mencukupi kerana sentuhan itu kemungkinan kurang berkesan serta pesakit tidak merasa puas walaupun teknik yang digunakan betul.

Justeru, bagi seorang pengamal urutan tradisional dari Utara tanah air, Baharom Yunus berjaya mengenal pasti kaedah lebih berkesan bagi tujuan mengurut. Yunus yang mesra dikenali sebagai Pak Jang menjelaskan, penggunaan tanduk seladang betina serta beberapa peralatan lain.


Khasiat tanduk seladang

Pak Jang menambah, urutan menggunakan jari-jemari sahaja kurang praktikal berbanding penggunaan peralatan khas yang dibuat sendiri atau dibeli.

Katanya tanduk seladang betina yang diperoleh dari Indonesia digunakan dalam teknik urutannya yang dikajinya sejak 20 tahun lalu.

“Sebelum mengurut saya akan menggunakan jari-jemari yang bertindak seperti alat 'pengimbas' untuk mengenalpasti anggota badan yang mengalami masalah urat.

Selalunya bahagian yang mempunyai banyak benjolan merupakan kawasan yang perlu diberi perhatian.



TANPA menggunakan peralatan seperti yang ditunjukkan, proses urutan kurang berkesan dan tidak puas.

“Peralatan seperti tanduk seladang betina yang dibentuk seperti sudu digunakan bagi memecahkan bahagian saluran tersumbat yang berpunca daripada darah beku, lemak dan angin dengan bantuan minyak khas.

“Selagi terdapat permukaan tidak rata maka selagi itulah urutan dibuat. Apabila saluran bermasalah dirungkai dengan betul, aliran darah akan mengalir secara normal kembali,” katanya sambil mengurut seorang pelanggan menggunakan teknik tanduk seladang betina di Pondok Rawatan Nusantara (PRN) di Sungai Petani, Kedah.

Namun, bagi mereka yang tidak mahir dengan teknik berkenaan, dia menyarankan agar tidak sesekali mencubanya kerana khuatir boleh memudaratkan pesakit.

Paling penting katanya, urutan mesti sesuai dengan kaedah, tempat, kemampuan serta sensitif pada bahagian yang tidak boleh diurut.

Jelas lelaki yang kini menjangkau usia 63 tahun itu, teknik urutan yang diamalkannya seakan-akan terapi guasa dari China tetapi ia tidak terlalu ekstrem sehingga boleh meninggalkan garisan merah pada tubuh pesakit.

“Bagaimanapun, bahagian paling sakit dalam teknik ini apabila saluran darah tersumbat ditekan, tetapi kesannya selepas itu memang tidak sakit malah ada pesakit yang dipimpin sebelum rawatan mampu berjalan sendiri selepas diurut,” katanya.

Akuinya, setakat hari ini teknik berkenaan hanya boleh didapati di PRN sahaja malah dia menggunakan kira-kira 15 peralatan mengurut lain mengikut kesesuaian pesakit.

Antaranya, batu marmar yang dicanai khas, tanduk kerbau, tanduk seladang jantan, rotan, batu sungai dan tumbang kambing.

“Urut sepatutnya dilihat sebagai satu perubatan pencegahan dan sepatutnya dilakukan secara kerap. Ia sangat baik mencegah penyakit daripada menjadi lebih teruk seperti migrain, strok, lemah jantung, kebas, sengal-sengal selain bertujuan penjagaan kesihatan,” katanya.


Urut auta

Tegas Pak Jang, urutan yang dipraktik sejak sekian lama bukannya ‘auta’ kerana ia betul-betul teknik mengurut dan sentuhannya memang sampai ke urat malah mendapat pujian daripada pelanggan kerana teknik yang sememangnya berbeza dengan urutan dengan hanya menggunakan tangan.

Lebih menarik, Pak Jang yang sebelum ini pernah menderita penyakit jantung kronik mampu berulang-alik dari kediamannya di Permatang Pauh, Pulau Pinang ke PRN, Sungai Petani setiap hari kecuali Jumaat.

Sementara itu, bagi pengasas PRN, Roslan Mat Isa, 41, memberitahu, penggunaan kira-kira 15 peralatan mengurut itu lebih berkesan dan mampu menyembuh bahagian bermasalah secara terperinci.


BATU marmar yang dibuat khas turut digunakan dalam proses mengurut.

“Kalau menggunakan tangan semata-mata, keupayaan mengurut adalah terbatas kerana kekuatan manusia ini bukanlah kuat sangat. Kalau nak tekan dengan jari sahaja memang tidak terasa dan jika terasa sekalipun mungkin sekejap sahaja lepas itu kembali tidak selesa,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, di PRN mereka menggunakan pelbagai minyak bagi tujuan urutan. Antaranya, minyak kelapa dara, minyak bijan, minyak matahari, minyak zaitun dan minyak yang dimasak dengan ramuan sendiri.

Jelasnya, dengan bantuan Pak Jang serta tujuh orang tukang urut secara sambilan konsep urutan yang diperkenalkan PRN kini semakin berkembang dan diterima orang ramai kerana ia memberikan kepuasan maksimum.

Selain pendedahan ilmu urutan daripada Pak Jang, Roslan terlebih dahulu mengikuti kursus pelbagai jenis rawatan di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), pusat perubatan swasta serta beberapa tempat lagi.

“Sebelum khidmat Pak Jang di pondok rawatan ini, saya juga mempunyai alat mengurut sendiri. Bagaimanapun, dengan kemasukan Pak Jang ke sini menjadikan rawatan lebih kemas,” katanya yakin.

Seorang pelanggan, Harun Hussain memberitahu, walaupun pertama kali dirinya membuat rawatan urut di PRN, tubuhnya begitu segar malah masalah di bahagian bawah lututnya semakin pulih setelah diurut menggunakan tanduk seladang betina.

Memang apabila urat ditekan pada ketika itu terasa sedikit sakit, tetapi dalam tempoh beberapa minit kesakitan itu beransur hilang,” katanya.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com