Gambar hiasan
TERIMA kasih kerana sudi membaca e-mel saya. Saya bakal berkahwin tahun ini, masalahnya saya sangat tidak berkenan dengan sikap kakak tunang saya.
Pertama, dia pengotor. Dia membiarkan anaknya atau dia sendiri mengelap tangannya di kusyen kereta saya jika mereka makan dalam kenderaan itu.
Kedua, dia seolah-olah tidak menghormati ibu bapa saya. Jika tunang saya datang ke rumah untuk mengambil saya pergi ke mana-mana dan kakaknya ikut sekali, dia langsung tidak keluar dari kereta untuk bersalam dengan ibu bapa saya. Walhal ibu bapa saya sudah keluar ke kereta tunang saya tapi dia seolah-olah mahu ibu bapa saya datang sujud padanya.
Saya sangat benci dengan sikapnya. Dia bukannya hidup senang atau berpangkat, sehingga nak ibu bapa saya sujud pada dia.
Ketiga, kami bakal berkahwin tidak lama lagi, awal-awal lagi dia minta adiknya belikan pakaian untuknya di hari perkahwinan kami. Kalau baju berharga puluhan ringgit tidak mengapa, ini nak beli baju ‘lip lap’ dan beratus ringgit.
Saya tahulah itu duit adiknya tapi dia juga harus fikirkan hidup kami juga. Saya sendiri tidak minta barang hantaran dan wang hantaran tinggi seperti pasangan lain sebab, walaupun kami berdua kerja tetap di agensi kerajaan, selepas berkahwin nanti kami mewah makan dan berbelanja, bukan hutang sana sini mahupun pinjaman bank.
Untuk pengetahuan Dang Setia, keluarga saya banyak membantu dalam persiapan kami. Bukan nak mengungkit tapi kakak dia sepatutnya memahami dan meringankan beban adiknya.
Kalau nak sangat makan mewah dan pakaian mahal- mahal, mintalah pada suaminya, jangan susahkan orang lain.
Saya pernah bincang hal ini tetapi akhirnya kami bergaduh kerana ia berkaitan keluarga.
Saya harap Dang Setia dapat membantu saya. Saya sangat tertekan dengan kakaknya. Silap hari bulan, bulan madu pun dia nak ikut. Saya tidak rela duitnya dihabiskan bukan untuk tanggungannya. Tolonglah saya.
INSAN TERKILAN
Putrajaya
Satu elemen utama dalam perkahwinan adalah keluarga pasangan. Sebagai suami isteri, kita mungkin bahagia dan serasi di antara satu sama lain tapi yang kerap menjadi masalah adalah memenangi hati keluarga.
Nampak jelas saudari bakal berdepan masalah itu jika ia tidak diatasi dari awal. Berdasarkan penjelasan saudari, Dang Setia dapat rasakan tunang saudari rapat dengan kakaknya.
Justeru, tidak mengejutkan dia sanggup melayan kerenah kakaknya biarpun permintaan dilihat saudari tidak masuk akal.
Pada masa sama, kelihatan seolah-olah tunang saudari menyebelahi kakaknya apabila kalian berbincang mengenai masalah itu.
Sebagai orang luar, apabila berkahwin kelak, saudari perlu berhati-hati menangani kemelut ini. Jika tersilap langkah, saudari bakal menjadi mangsa keadaan sedangkan saudari di pihak benar.
Dang Setia tidak nampak jalan lain, melainkan perbincangan daripada hati ke hati di antara saudari dan tunang sebelum mendirikan rumah tangga.
Katakan apa yang terbuku di hati secara berhemah dan berhikmah supaya tunang saudari menyedari masalah itu dari awal dan berusaha menyelesaikannya sebelum ia merebak menjadi ‘barah’ hingga menjejaskan rumah tangga kelak.
Berdebat secara bijak dengan mengemukakan hujah seperti daripada aspek agama mengenai tanggungjawabnya terhadap isteri, tapi pada masa sama tidak mengabaikan keluarganya.
Paling utama, penyelesaian menang-menang bagi semua pihak.
Bakal suami tidak memanjakan kakaknya secara berlebihan manakala saudari pula harus bertolak ansur kerana hubungan adik beradik bagai air dicincang yang tidak akan putus.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
2 days ago
0 comments:
Post a Comment