Rebat pembelian untuk peti sejuk, penyaman udara cekap tenaga PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia kini boleh menikmati rebat bagi pembelian peralatan cekap tenaga bertaraf lima bintang menerusi Program "Sustainability Achieved Via Energy Efficiency" (SAVE). Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, berkata rebat RM200 akan diberi bagi pembelian satu unit peti sejuk, RM100 untuk penyaman udara dan RM200 bagi setiap tan bahan penyejuk untuk "chiller" pengguna komersial.
"Rebat yang diberi adalah terhad mengikut bajet yang diluluskan dan berasaskan 'siapa cepat dia dapat', jika syarat kelayakan dipenuhi," katanya ketika melancarkan program SAVE, di sini hari ini.
Peter Chin berkata, kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk program SAVE dan bagi tahun ini rebat disediakan untuk 100,000 unit peti sejuk, 65,000 unit penyaman udara dan 72,000 tan bahan penyejuk untuk 'chiller'. Beliau berkata, di Semenanjung, pengguna yang layak mendapat rebat bagi peti sejuk adalah mereka yang mempunyai purata bil elektrik antara RM43.60 hingga RM110.40 sebulan selama enam bulan bermula Disember lalu hingga Mei tahun ini. "Secara purata mereka ini menggunakan antara 200 dan 400 kilowatt/jam tenaga elektrik sebulan," katanya. Rebat penyaman udara pula terbuka kepada semua pengguna yang berdaftar dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau tinggal di kediaman yang berdaftar sebagai pengguna TNB. Bagi pengguna di Sabah, Labuan dan Sarawak, mereka yang berdaftar dengan Sabah Electricity Sdn Bhd atau Syarikat SESCO Bhd layak menerima rebat bagi peti sejuk dan penyaman udara. Untuk "chiller", permohonan mendapatkan rebat boleh dibuat oleh pemilik bangunan komersial dan syarikat swasta yang berdaftar di Malaysia dengan menggunakan borang yang boleh dimuat turun dari laman web kementerian di www.saveenergy.gov.my. Chin juga berkata, satu siri jelajah akan diadakan di enam kawasan utama di seluruh negara untuk menyebarkan maklumat dan pendidikan kepada pengguna tentang Inisiatif Rebat Program SAVE itu. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment