MELIHAT kepada populariti dikecapi, kumpulan Senario tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat.
Mereka yang tegar meminati kumpulan mencetuskan senario dalam genre komedi serta menjadi kegilaan ramai pada awal 2000 ini, tentunya sudah masak dengan gaya lakonan Senario.
Daripada anggota asal, Wahid Mohd, Mazlan Ahmad (Lan Pet Pet), Azlee Jaafar, Ilya dan Hamdan, kumpulan ini terus bersilih ganti keanggotaan dengan kemasukan Yassin dan Saiful Apek bagi menggantikan tempat Ilya dan Hamdan.
Jodoh mereka berdua juga tidak lama dan kini, Wahid, Mazlan dan Azlee gigih meneruskan perjuangan Senario apabila membintangi filem terbaru yang juga kesepuluh - Senario The Movie Ops Pocot.
Menerusi filem ke-47 terbitan Metrowealth Pictures (MIG), Senario bekerja buat pertama kali dengan Ismail Bob Hasim. Sebelum ini mereka bermula dengan filem arahan Aziz M Osman menerusi Senario, Senario Lagi dan Lagi-lagi Senario kemudian beralih angin bersama Mamat Khalid sebelum kembali bekerja dengan Aziz (Senario XX).
Seterusnya mereka bekerja pula dengan Ahmad Idham untuk tiga siri, kemudian Hatta Azad Khan dan kini dengan pengarah generasi baru yang pernah mencetuskan fenomena dengan kejayaan filem pertamanya, Ngangkung.
Sebelum Senario Ops Pocot mula menjengah pawagam semalam, peminat bertuah berpeluang menyaksikan lakonan terbaru mereka di TGV Sunway Pyramid, Selasa lalu.
Mereka dipilih menerusi MIG Online untuk menyaksikan tayangan eksklusif bersama barisan pelakon lain, pengarah dan produser filem ini. Antaranya, Hairul Azreen, Diana Amir, Sasqia dan Alex Yans.
Kekal dengan ‘trademark’ dari segi lakonan dan karakter mereka, Senario Ops Pocot cuba menampilkan teladan dan panduan kepada masyarakat apabila mengetengahkan pasukan beruniform Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Senario Ops Pocot mengisahkan tiga pemuda, Azlee, Mazlan dan Wahid yang tidak mengenali antara satu sama lain. Azlee bekerja sebagai pengawal keselamatan di kompleks beli-belah dan dia seorang yang kurang stamina dan asyik tertidur.
Mazlan pula penakut ular dan selalu menjadi mangsa buli di pejabat, manakala Wahid pekerja syarikat pembekal buruh asing. Dia amat pendiam dan mudah panik.
Pihak atasan yang bengang dengan personaliti mereka, memaksa mereka menyertai pasukan Rela. Di sini, mereka mendapati agak sukar menyesuaikan diri.
Latihan yang diberikan Pak Bad (Mr Os) yang agak ketat serta gangguan tiga pemuda, Hairi (Kamal Adli), Bob (Shahfiez) dan Maman (Hairul Azreen), membuatkan mereka tertekan dan lemah semangat.
Mereka juga berkenalan dengan tiga gadis cantik yang menyertai Rela iaitu Mala (Diana Amir), Azie (Mas Muharni) dan Ann (Sasqia). Pelbagai kisah menarik dan lucu terjadi sepanjang pembabitan mereka dalam latihan ini.
Kata Ismail, MIG mahu menerbitkan satu cerita yang membabitkan pasukan beruniform. Mereka nampak kisah pasukan Rela sesuai ditampilkan kepada masyarakat.
“Memandangkan isu yang ditampilkan ialah pasukan Rela, saya tak buat ceritanya terlalu serius sangat kerana tahu masalah mereka.
“Kalau saya buat cerita mengenai polis atau tentera, lainlah kerana tahu bagaimana konsep mereka. Menyertai Rela sangat ‘enjoy’ dan tak tertekan.
“Sesiapa yang berminat menyertainya boleh tanya mereka, berbanding dengan pasukan polis dan tentera orang mungkin gerun nak mendekatinya. Secara tidak langsung, filem ini menyokong kempen Rela yang giat menambah ahli baru,” katanya.
Meneliti paparan cerita, mungkin sesetengah pihak mempertikai elemen lucu dan logik beberapa babak yang ada. Juga karakter dan watak Senario yang mengekalkan nama sama.
Bagaimanapun, kata Ismail, dia tidak mahu menakutkan masyarakat terhadap fungsi pasukan berkenaan.
“Untuk itu, paparannya tidak boleh keterlaluan. Kami diberi garis panduan tertentu Oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) sebelum menerbitkannya.
“Berkenaan beberapa adegan yang menunjukkan Rela mendahului peranan polis, kita sedia maklum filem ini berbentuk komedi, jadi saya mahu mengangkat peranan Rela. Namun, pembabitan polis tetap ada dalam filem ini,” katanya.
Sementara itu Mazlan berkata, filem berkenaan memberi banyak pelajaran dan sejarah tersendiri kerana Senario adalah artis pertama memegang watak pasukan beruniform dalam lakonan.
“Selalu orang ingat kami tak serius, tetapi kami sudah buktikan menerusi filem ini. Latihan dijalankan memang sungguh-sungguh sehinggakan kami berjaya dapat ijazah Rela.
“Pengalaman lain yang indah kami berpeluang pegang senjata api dan berlakon
babak menembak sebenar. Terima kasih kepada komandan Rela yang berikan kerjasama yang terbaik,” katanya.
Mazlan berharap filem berkenaan membuka mata masyarakat terutama golongan muda agar menyertai Rela.
“Sepatutnya Ahmad Idham yang mengarah, tapi Bob ambil alih. Dia sanggup ambil cabaran mengarahkan filem keduanya ini selepas Ngangkung. Terima kasih kerana tahan dengan kerenah kami,” katanya.
Penggambaran selama 30 hari membawa pengalaman tersendiri buat Azlee.
Dalam sesi latihan yang dijalankan, pergelangan tangannya terseliuh ketika memanjat tembok menyebabkan dia diberi cuti sakit sehari.
“Walaupun sakit, saya tetap buat babak ini. Saya akui dengan saiz badan sebegini agak sukar mengikuti rutin latihan dalam Rela. Tapi bila dikenangkan bila buat filem mengenai pasukan beruniform, saya kena buat sebaik mungkin,” katanya.
Azlee turut mengumumkan satu berita gembira buat peminat Senario kerana mereka merancang membuat reunion bersama bekas anggotanya pada tahun depan.
“Walaupun sudah berpisah, Senario masih sayangkan Ilya, Hamdan, Yassin dan Saiful Apek. Insya-Allah kami akan bersama-sama dalam sitkom dan show yang diadakan nanti,” katanya.
Sementara itu individu yang bertanggungjawab mencetuskan idea Senario Ops Pocot ialah Wahid.
Katanya, ada tujuan tersendiri kenapa dia tampil dengan konsep cerita sebegini.
“Semua maklum, kami semua sudah pegang watak nama sendiri sejak bersama abang Aziz lagi. Senario adalah kami dan yang berubah dalam setiap filem ialah senario yang disampaikan. Kami tak boleh menipu diri sendiri dengan bawa watak lain.
“Syukur kerana filem ini berjaya menemui peminat. Ia adalah filem terakhir kami bersama MIG. Ini kenangan yang terindah kami bersama mereka,” katanya.
Diana Amir menganggap gabungan dengan Senario sesuatu yang pelik, kelakar dan serius, namun dapat menghiburkan peminat.
Cabaran yang dilaluinya menerusi filem berkenaan ialah apabila terpaksa digantung kaki di atas dan kepala di bawah.
“Babak ini banyak kali diulang hingga membuatkan saya berasa pening. Cabaran lain ialah kena merentas halangan dan berkawad di tengah panas. Namun, ia membentuk disiplin di kalangan kami,” katanya.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
3 days ago
0 comments:
Post a Comment