Friday, July 1, 2011

Majlis Perkahwinan Noh Hujan dan Mizz Nina

| Friday, July 1, 2011 | 0 comments



MEREKA dari latar belakang yang berbeza, namun takdir telah mempertemukan kedua-duanya. Sejak itu, Noh atau nama sebenarnya Mohammed Noh Salleh, 27, sudah terkena panahan asmara Mizz Nina, 31.

Bekerjasama untuk single mereka yang berjudul Kurnia pada bulan Disember 2009, hubungan yang pada mulanya sekadar rakan sekerja itu lantas berputik menjadi pasangan kekasih sekitar bulan Januari 2010.

Dibajai kasih dan sayang, cinta mereka itu mekar subur sehinggalah tiba detik penyatuan jiwa, hati dan nurani mereka menjalani akad nikah pada Jumaat lepas.

Jelas sekali, hubungan cinta yang disirami kemesraan selama setahun lima bulan itu akhirnya menjadi ikatan perkahwinan sekali gus melengkapkan mereka sebagai suami isteri dengan panggilan baharu iaitu Mizz Noh.

Sebuah cinta pasti ada faktor penyebabnya tidak terkecuali pasangan Mizz Noh ini. Saat diajukan soalan kenapa memilih Noh sebagai teman hidupnya, anak bongsu kepada Pengerusi Kumpulan Ambank Berhad, Tan Sri Azman Hashim itu memberitahu, sifat humor dan rendah diri Noh melengkapkan dirinya yang tenang dan pemalu.

Bagi Noh pula, dia menganggap isterinya itu sebagai wanita sempurna. “Dia cool dan tidak berdrama. Sebab itu kenapa saya cintakan Nina,” tutur Noh bersahaja tetapi penuh bermakna.

Berpeluang bersua dengan pasangan pengantin pada majlis resepsi khusus untuk para media dan sahabat handai kelmarin di Hotel DoubleTree by Hilton, The Intermark, Kuala Lumpur, jelas terpancar sinar bahagia di wajah mereka yang sudah kira-kira enam hari bergelar suami isteri.

Menariknya, majlis resepsi itu agak santai dan unik dengan tema Jepun yang disuntik elemen Melayu kontemporari. Nina muncul penuh elegan dengan sepersalinan baju ala kimono manakala Noh pula segak dengan sepersalinan baju Melayu ala Jepun.

Pakaian pasangan pengantin yang direka pereka terkenal tanah air, Micheal Ong itu bagaimanapun masih menerapkan ciri-ciri kemelayuan.

Suasana dalam dewan begitu meriah dengan pepohon sakura dan tanglung-tanglung yang menjadikan perkahwinan pasangan itu nyata begitu unik sekali.


KOSTUM unik Noh dan Nina yang menggabungkan elemen fesyen Jepun dan Melayu kontemporari.

Lebih unik, para tetamu yang hadir tidak disediakan meja bebas, yang menyebabkan mereka bebas bergerak dan bersantai bersama menikmati juadah yang terdiri daripada makanan Melayu dan Jepun.

Minat anime

Ilham mengadakan majlis sebegitu dikatakan timbul apabila Nina dan Noh mempunyai minat yang sama dan satu terhadap anime (animasi Jepun). Persamaan itu menyebabkan mereka itu saling jatuh cinta.

“Kami sangat sukakan anime, gemar mendengar muzik Jepun dan sangat berselera menikmati sushi. Sebab itu mengapa tema Jepun ini dipilih sebagai majlis resepsi buat para media dan sahabat handai,” ungkap Nina kepada media selepas majlis resepsi tersebut.

Balas Noh pula: “Kami memang mahu buat majlis resepsi untuk media dan kawan-kawan secara fun. Tidak mahu mereka tertekan dengan majlis yang begitu formal.”

Selepas ini, Nina dan Noh bakal terbang ke Miri, Sarawak bagi melaksanakan majlis resepsi di sebelah keluarga Noh yang bakal diadakan di Eastwood Golf Resort pada 15 Julai nanti dengan berkonsepkan perkahwinan dalam taman.

Menurut Noh, sebelum mengadakan majlis resepsi pada 15 Julai depan di Miri itu, satu majlis doa selamat sempena perkahwinannya serta hari jadi Nina yang jatuh pada tarikh yang sama iaitu 1 Julai lalu dan sambutan kelahiran anak buah Noh bakal diadakan di kediaman keluarganya.

Setiap pasangan yang berkahwin sudah pasti tidak lengkap jika tidak menyentuh tentang lokasi bulan madu. Pasangan Mizz Noh juga tidak terkecuali. Mereka merancang untuk berbulan madu selama dua minggu bermula 17 Julai ini di United Kingdom, Rom, Itali dan Kepulauan Maldives.

Selepas berbulan madu, Nina dan Noh masing-masing bakal sibuk di studio untuk rakaman lagu. Nina bakal keluar dengan lagu single berjudul Take Over manakala Noh pula bakal sibuk menyiapkan album penuh Hujan.

Bercerita mengenai Take Over, ia merupakan single terbaharu penyanyi R&B itu selepas berjaya dengan single terdahulunya, What Waiting For, kolaborasi bersama Colby O’Donis.

“Take Over adalah single terbaharu Nina bersama artis Flo Rida. Ia sudah ke udara di stesen-stesen radio tetapi klip videonya bakal disiapkan menjelang bulan Ogos ini,” katanya mengenai kolaborasinya bersama Flo Rida yang pernah bekerjasama dengan ramai penyanyi tersohor global seperti Justin Timberlake, Madonna, Katy Perry dan Lady Gaga.

Bagi Noh pula, album terbaharu Hujan dikatakan lewat dihasilkan kerana dia begitu sibuk menguruskan majlis resepsinya bersama Nina sejak tujuh bulan yang lalu.

Rancak bercerita mengenai majlis resepsi, bulan madu dan rakaman album, tiada sebarang rancangan memiliki anak yang terpacul di bibir Noh mahupun Nina.

Cincin cinta

Ditebak persoalan tentang anak, Noh dan Nina mengakui merancang ingin memiliki anak selepas masing-masing selesai menjalani rakaman lagu dan album. Namun, mereka menerima seadanya andai rezeki anak dikurniakan Tuhan lebih awal.


SIKAP Nina yang sentiasa tenang dan tidak berdrama menyebabkan Noh jatuh cinta kepadanya.

“Kalau boleh kami ingin fokus pada lagu dan album dahulu sebelum memikirkan anak. Tetapi, jika kami dikurniakan anak dalam masa terdekat ini, kami menerimanya,” kata Nina yang merancang memiliki tiga orang anak manakala Noh hanya menginginkan dua orang anak sahaja.

Seperkara yang menarik tentang pasangan Mizz Noh adalah apabila melihat cincin masing-masing yang tersarung di jari manis. Ada beberapa perkataan indah yang terselit di situ. Cincin yang tersarung di jari Nina tertera perkataan Nina Love Noh dan begitu juga sebaliknya pada cincin di jari Noh tertera pula perkataan Noh Love Nina.

Tidak gah dan terlalu mencuri pandangan, cincin Nina dikatakan dipilih sendiri oleh Noh. Kata Nina, dia sangat sukakan cincin pemberian Noh itu kerana ia ringkas dan boleh dipakai sentiasa.

“Noh yang pilih sendiri cincin ini tetapi saya suka. Saya tidak mahu yang gah sebab susah hendak buat kerja. Saya juga boleh memakainya setiap hari,” kata Nina yang merancang untuk memasak makanan kegemaran Noh buat pertama kalinya menjadi isteri kepada lelaki itu.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com