SHAH ALAM: Seorang saksi perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia nampak empat orang lelaki membuang barang di beberapa lokasi di Banting pada September tahun lalu.
U Suresh, 27, berkata dia melihat perbuatan itu semasa lori yang dipandunya mengekori sebuah pacuan empat roda berwarna biru yang dinaiki empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia pada pagi 4 September tahun lalu.
Sebelum itu, saksi ke-29 pendakwaan itu berkata seorang lelaki menahan lori yang dipandunya di simpang masuk menghala ke tempat kerjanya, iaitu sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, dan bertanyakan sama ada boleh menyewa lorinya.
Suresh yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan tersebut, berkata lelaki terbabit memberitahu bahawa lori itu diperlukan untuk membuang barang sembahyang dan bersedia membayar upah sebanyak RM250.
"Selepas bersetuju untuk menyewakan lori, ada seorang lelaki Indonesia turun dari jip (pacuan empat roda) itu dan naik lori saya serta duduk di bahagian tempat duduk sebelah pemandu. Lelaki Indonesia itu suruh saya mengekori jip itu.
"Jip itu kemudian bergerak dan berhenti di sebuah sungai yang saya tidak tahu nama. Pemandu jip tidak turun dari jip, saya nampak dua lelaki lagi turun dari jip dan buang satu karung (sack) warna putih ke dalam alur.
"Lepas buang mereka naik semula ke dalam jip dan sambung perjalanan," katanya ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N Pathmanabhan pada perbicaraan hari ke-17.
Suresh memberi keterangan pada perbicaraan kes Pathmanabhan, 42, bekas peguam, dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, 20; R Matan, 21; dan R Khatavarayan, 31; yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44; di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Suresh berkata, pacuan empat roda itu seterusnya berhenti di sebuah jambatan kecil kira-kira empat hingga enam kilometer dari lokasi pertama kenderaan itu berhenti.
"Di sana dia nampak seorang lelaki dari pacuan empat roda itu membuang barang ke dalam sungai.
"Selepas itu saya masih ikut jip dan bila sampai di satu kawasan hutan berhampiran Jalan Kelanang dan jip itu berhenti, saya nampak sebuah kereta warna hitam berada dalam jarak kira-kira 20 meter dari lori saya. Saya tidak nampak siapa dan berapa orang dalam kereta hitam kerana cerminnya 'tinted'.
"Selepas itu saya turun dan buka bahagian belakang lori sebelum naik semula (ke dalam lori). Kemudian saya nampak lelaki Indonesia dan seorang lelaki isi barang dalam lori saya kira-kira 10 minit. Selepas loading barang kereta hitam bergerak di hadapan kemudian diikuti jip dan lori saya," katanya.
Saksi itu berkata, kira-kira lima hingga 10 minit kemudian ketiga-tiga kenderaan berhenti di tepi sebuah sungai di mana dia melihat lelaki Indonesia serta dua lelaki dari pacuan empat roda itu mengeluarkan barang dari lorinya dan membuangnya ke dalam sungai.
Suresh berkata, ketika itu dia yang masih berada di tempat duduk pemandu turut mendengar seperti bunyi zink dipijak.
"Saya kemudian nampak pemandu jip minta bayaran dari kereta hitam dan driver kereta hitam ada buka cermin kereta tetapi saya tidak nampak siapa. Pemandu jip beri saya wang RM300 dan bila saya beritahu bayarannya hanya RM250 lelaki itu cakap tidak apa, saya simpan baki duit," katanya.
Manjeet: "Selepas itu adakah awak terus ke Puchong?"
Suresh: "Tidak saya ada berhenti di satu tempat. Lelaki Indonesia itu cakap dia nak turun di Subang Jaya dan dia beritahu itu dalam perjalanan jadi bolehlah turunkan dia (di Subang Jaya)."
Suresh berkata, apabila tiba di sebuah kawasan kilang dan flat di Subang Jaya, lelaki Indonesia itu memberitahu dia ingin berjumpa seseorang.
Kira-kira 10 minit kemudian saksi itu nampak lelaki Indonesia terbabit membuang sebuah kotak rokok ke dalam sebatang alur semasa sedang berjalan ke arah lorinya.
"Sebelum lelaki Indonesia beredar dari situ, dia ada beri dua buah telefon bimbit kepada saya dan saya tolak tetapi lelaki Indonesia itu mendesak saya mengambilnya," katanya.
"Bila balik semula ke ladang, saya beritahu majikan saya Ravi," katanya.
Manjeet: "Ravi ambil ke telefon bimbit itu?"
Suresh: "Ravi marah saya sebab barang-barang yang dibuang ialah barang sembahyang...dia suruh saya buangnya."
Saksi itu berkata dia kemudian membuang kedua-dua telefon bimbit tersebut ke dalam sebuah alur kecil berhampiran sungai di Pasar Besar Banting.
Kepada soalan lain, Suresh berkata dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan atau melakukan pembunuhan pada malam 30 Ogos 2010 (tarikh kejadian) dan dia juga tidak mengenali Pathmanabhan sehinggalah dia ditangkap polis pada 9 September 2010.
Saksi itu juga mendakwa dia dipukul oleh pegawai polis bernama Govindan dan anggota polis lain serta diacukan pistol di kepala bagi mengaitkan (implicate) Pathmanabhan dengan kes pembunuhan tersebut.
Terdahulu, Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan untuk membenarkan rakaman percakapan Suresh digunakan dalam prosiding bagi mencabar kebolehpercayaan (impeach) keterangannya di mahkamah.
Akhtar membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa percakapan saksi itu yang dirakam oleh pihak polis memenuhi keperluan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).
Beliau bagaimanapun tidak menerima rakaman percakapan Suresh dikemukakan sebagai bahan bukti di mahkamah.
Ini kerana, katanya, Suresh adalah saksi dalam kes pembunuhan itu dan bukan orang yang dituduh.
Akhtar kemudiannya meneruskan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu dengan meminta Suresh menjelaskan 22 percanggahan dalam keterangannya.
Setelah mendengar penjelasan Suresh, Akhtar berkata beliau akan memutuskan sama ada untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu di akhir kes pendakwaan kelak.
Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
3 days ago
0 comments:
Post a Comment