Showing posts with label pembunuhan kejam sosilawati dan rakan. Show all posts
Showing posts with label pembunuhan kejam sosilawati dan rakan. Show all posts

Thursday, August 4, 2011

Kes Bunuh Datuk Sosilawati: Saksi nampak 4 lelaki buang barang di beberapa lokasi

| Thursday, August 4, 2011 | 0 comments


SHAH ALAM: Seorang saksi perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia nampak empat orang lelaki membuang barang di beberapa lokasi di Banting pada September tahun lalu.

U Suresh, 27, berkata dia melihat perbuatan itu semasa lori yang dipandunya mengekori sebuah pacuan empat roda berwarna biru yang dinaiki empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia pada pagi 4 September tahun lalu.

Sebelum itu, saksi ke-29 pendakwaan itu berkata seorang lelaki menahan lori yang dipandunya di simpang masuk menghala ke tempat kerjanya, iaitu sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, dan bertanyakan sama ada boleh menyewa lorinya.

Suresh yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan tersebut, berkata lelaki terbabit memberitahu bahawa lori itu diperlukan untuk membuang barang sembahyang dan bersedia membayar upah sebanyak RM250.

"Selepas bersetuju untuk menyewakan lori, ada seorang lelaki Indonesia turun dari jip (pacuan empat roda) itu dan naik lori saya serta duduk di bahagian tempat duduk sebelah pemandu. Lelaki Indonesia itu suruh saya mengekori jip itu.

"Jip itu kemudian bergerak dan berhenti di sebuah sungai yang saya tidak tahu nama. Pemandu jip tidak turun dari jip, saya nampak dua lelaki lagi turun dari jip dan buang satu karung (sack) warna putih ke dalam alur.

"Lepas buang mereka naik semula ke dalam jip dan sambung perjalanan," katanya ketika disoal balas peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili tertuduh pertama, N Pathmanabhan pada perbicaraan hari ke-17.

Suresh memberi keterangan pada perbicaraan kes Pathmanabhan, 42, bekas peguam, dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, 20; R Matan, 21; dan R Khatavarayan, 31; yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44; di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Suresh berkata, pacuan empat roda itu seterusnya berhenti di sebuah jambatan kecil kira-kira empat hingga enam kilometer dari lokasi pertama kenderaan itu berhenti.

"Di sana dia nampak seorang lelaki dari pacuan empat roda itu membuang barang ke dalam sungai.

"Selepas itu saya masih ikut jip dan bila sampai di satu kawasan hutan berhampiran Jalan Kelanang dan jip itu berhenti, saya nampak sebuah kereta warna hitam berada dalam jarak kira-kira 20 meter dari lori saya. Saya tidak nampak siapa dan berapa orang dalam kereta hitam kerana cerminnya 'tinted'.

"Selepas itu saya turun dan buka bahagian belakang lori sebelum naik semula (ke dalam lori). Kemudian saya nampak lelaki Indonesia dan seorang lelaki isi barang dalam lori saya kira-kira 10 minit. Selepas loading barang kereta hitam bergerak di hadapan kemudian diikuti jip dan lori saya," katanya.

Saksi itu berkata, kira-kira lima hingga 10 minit kemudian ketiga-tiga kenderaan berhenti di tepi sebuah sungai di mana dia melihat lelaki Indonesia serta dua lelaki dari pacuan empat roda itu mengeluarkan barang dari lorinya dan membuangnya ke dalam sungai.

Suresh berkata, ketika itu dia yang masih berada di tempat duduk pemandu turut mendengar seperti bunyi zink dipijak.

"Saya kemudian nampak pemandu jip minta bayaran dari kereta hitam dan driver kereta hitam ada buka cermin kereta tetapi saya tidak nampak siapa. Pemandu jip beri saya wang RM300 dan bila saya beritahu bayarannya hanya RM250 lelaki itu cakap tidak apa, saya simpan baki duit," katanya.

Manjeet: "Selepas itu adakah awak terus ke Puchong?"

Suresh: "Tidak saya ada berhenti di satu tempat. Lelaki Indonesia itu cakap dia nak turun di Subang Jaya dan dia beritahu itu dalam perjalanan jadi bolehlah turunkan dia (di Subang Jaya)."

Suresh berkata, apabila tiba di sebuah kawasan kilang dan flat di Subang Jaya, lelaki Indonesia itu memberitahu dia ingin berjumpa seseorang.

Kira-kira 10 minit kemudian saksi itu nampak lelaki Indonesia terbabit membuang sebuah kotak rokok ke dalam sebatang alur semasa sedang berjalan ke arah lorinya.

"Sebelum lelaki Indonesia beredar dari situ, dia ada beri dua buah telefon bimbit kepada saya dan saya tolak tetapi lelaki Indonesia itu mendesak saya mengambilnya," katanya.

"Bila balik semula ke ladang, saya beritahu majikan saya Ravi," katanya.

Manjeet: "Ravi ambil ke telefon bimbit itu?"

Suresh: "Ravi marah saya sebab barang-barang yang dibuang ialah barang sembahyang...dia suruh saya buangnya."

Saksi itu berkata dia kemudian membuang kedua-dua telefon bimbit tersebut ke dalam sebuah alur kecil berhampiran sungai di Pasar Besar Banting.

Kepada soalan lain, Suresh berkata dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan atau melakukan pembunuhan pada malam 30 Ogos 2010 (tarikh kejadian) dan dia juga tidak mengenali Pathmanabhan sehinggalah dia ditangkap polis pada 9 September 2010.

Saksi itu juga mendakwa dia dipukul oleh pegawai polis bernama Govindan dan anggota polis lain serta diacukan pistol di kepala bagi mengaitkan (implicate) Pathmanabhan dengan kes pembunuhan tersebut.

Terdahulu, Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan untuk membenarkan rakaman percakapan Suresh digunakan dalam prosiding bagi mencabar kebolehpercayaan (impeach) keterangannya di mahkamah.

Akhtar membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa percakapan saksi itu yang dirakam oleh pihak polis memenuhi keperluan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Beliau bagaimanapun tidak menerima rakaman percakapan Suresh dikemukakan sebagai bahan bukti di mahkamah.

Ini kerana, katanya, Suresh adalah saksi dalam kes pembunuhan itu dan bukan orang yang dituduh.

Akhtar kemudiannya meneruskan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu dengan meminta Suresh menjelaskan 22 percanggahan dalam keterangannya.

Setelah mendengar penjelasan Suresh, Akhtar berkata beliau akan memutuskan sama ada untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu di akhir kes pendakwaan kelak.

Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA

Readmore..

Sunday, February 27, 2011

Rita mimpi ibu Datuk Sosilawati Lawiya

| Sunday, February 27, 2011 | 0 comments



KUALA LUMPUR: Enam bulan selepas pemergian ibu tercinta, anak sulung jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, bermimpi Allahyarham datang ke pejabat, seolah-olah menggambarkan impian arwah supaya anaknya melebarkan empayar perniagaannya.

Berkongsi rasa hati meniti hari mendatang tanpa insan tersayang di sisi, Erni atau lebih mesra dipanggil Rita berkata, dia tidak menganggap musibah menimpa keluarganya sebagai bebanan, malah menjadikan dirinya lebih kuat. Kematian sadis ibunya bersama tiga individu lain di Banting memang mengejutkan, tetapi dia reda dengan takdir Allah.

“Selepas ketiadaannya, Rita dan adik-beradik pernah bermimpi emak. Dalam mimpi itu, emak datang ke pejabat, melihat Rita bekerja. Emak tidak pernah bercakap tetapi sering mengajak Rita berjalan-jalan dengan memberi isyarat tangan. Sebagai hamba-Nya, kita tidak tahu ketentuan Allah.

“Walaupun emak tiada, Rita berasa seolah-olah dia masih hidup kerana sentiasa teringatkannya. Emak memang sentiasa hidup dalam hati Rita. Mungkin Rita bermimpi sebab rindukan emak. Biasanya apabila bangun daripada tidur, Rita menceritakan mimpi berkenaan kepada adik lain, begitu juga mereka. Bermimpi ibu satu kepuasan bagi Rita.

“Rita juga sering teringat sikap emak yang suka memasak makanan kegemaran kami. Sayangnya, kini kami tidak dapat rasa air tangan emak lagi. Kalau rindu emak, Rita pergi ke tempat yang emak suka pergi.

“Terlalu banyak kenangan bersama emak yang sering bermain di ingatan. Bilik (pejabat) yang Rita duduk ini pun bilik emak. Rita tidak pernah ubah apa-apa susun atur di bilik emak kerana ini akan mengingatkan Rita pada emak,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, di sini.



Kerana rasa bertanggungjawab untuk meneruskan legasi Allahyarham, Rita yang bertindak sebagai Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd membuat keputusan membahagikan tugas perjalanan syarikat itu di kalangan adik-beradiknya, Erwan Suwari Rizuwan, 25, Md Erwan Nasri, 24, Erni Erinawati Sofia, 22, dan Erni Rineelawati, 21.

“Kami bahagikan tugas sama rata dan tahu kerja masing-masing. Rita mengaku tidak mampu buat kerja seorang kerana Rita pun manusia biasa. Bantuan adik diperlukan. Rizuwan menggalas tugas sebagai eksekutif pemasaran, Erwan (eksekutif operasi), Rina (eksekutif pentadbiran) dan Rinee (duta Nouvelle Visages). Tugas ini berkuat kuasa sejak kes yang menimpa emak kerana sebelum itu Rita dan emak menguruskan perniagaan,” katanya.

Matang dalam membuat keputusan, gadis itu tidak menghalang adiknya, Rina dan Rinee menyambung pengajian jurusan perniagaan menerusi Program Jarak Jauh (PJJ) Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Mereka ada cita-cita yang ingin dicapai. Rita tidak mahu disebabkan kes itu (pembunuhan ibunya bersama tiga individu lain), cita-cita mereka terkandas di tengah jalan.

“Bagaimanapun, pada hari biasa, mereka bekerja dan mengikuti pengajian PJJ hanya pada Ahad,” katanya yang mengakui masih tidak dapat mengikis rasa kesal tidak sempat memohon maaf kepada ibu buat kali terakhir.

Dia yang kini bertanggungjawab menjaga kebajikan lima adiknya serta perniagaan berkenaan berkata, kenangan suka duka bersama arwah membakar semangatnya untuk berjaya.

“Perasaan Rita, sebagai anak, kadangkala kita tidak sedar ada sikap atau perlakuan kita mengguris hati emak. Rita terkilan kerana tidak sempat meminta maaf dengan mencium tangan dan dahi emak buat kali terakhir,” katanya.

Menurutnya, dia kini memberi lebih tumpuan terhadap promosi jenama kerana masih ramai tidak tahu mengenai Nouvelle Visages.

“Ketika turun padang di satu pameran di Mid Valley baru-baru ini, Rita dapati ramai belum mengenali Nouvelle Visages. Rita akui bukan semua orang membaca akhbar, jadi usaha lebih giat perlu dilakukan untuk memperkenalkan jenama ini,” katanya.

Mencontohi sikap dermawan ibu, Rita meneruskan amalan pengasas Nouvelle Visages menyalurkan sumbangan kepada badan kebajikan dan tiga sekolah anak angkat di Johor.

“Rita akan teruskan apa yang emak lakukan sebelum ini. Malah, keperluan orang kampung emak, Kampung Seri Menanti, Batu Pahat, tidak kami abaikan sebab di situ tempat emak dibesarkan.

“Baru-baru ini kami memberi sumbangan wang ringgit dan makanan kepada mangsa banjir di kampung itu dan berpesan kepada ketua kampung, jika inginkan bantuan, jangan segan beritahu kerana ibu lahir di situ,” katanya.

Diusik mengenai soal hati, Rita enggan mengulas lanjut tetapi mengakui dia kini dalam tempoh berkawan dan mengenali hati budi seseorang. Ditanya perancangan hidup berkeluarga, Rita berkata, dia tidak menetapkan sasaran bila akan berkahwin kerana baginya, jodoh pertemuan di tangan Tuhan.

Mengenai kes tuntutan wang dan modal pelaburan saham amanah bernilai RM1.38 juta yang diberikan jutawan kosmetik itu kepada bekas suaminya, Nash, Rita berkata, dia tidak berani membuat keputusan sendiri kerana membabitkan ramai pihak.

“Kami adik-beradik akan mengadakan perjumpaan dengan peguam emak, Datuk Zaidi Zain dalam masa terdekat ini untuk membuat keputusan sama ada meneruskan kes berkenaan atau sebaliknya,” katanya.

Disebabkan kesibukan menguruskan perniagaan selepas ketiadaan ibu, Rita mengakui tidak sempat bertemu rakannya seperti dulu, tetapi masih berhubung melalui facebook dan twitter.

“Rita berharap kawan faham, Rita bukan berniat memutuskan silaturahim yang terjalin tetapi cuma mahu memberi lebih fokus terhadap tugas dan amanah sekarang. Apapun, Rita ingat setiap kawan Rita daripada sekolah rendah hingga zaman universiti,” katanya.

Dalam menghadapi situasi sedih dan mencabar, bapanya, Bukhari Mohamad, selalu ada di sisi.

“Sejak dulu, emak tidak pernah menghalang kami berjumpa ayah. Sampai sekarang, apabila berlaku kes seperti ini, yang paling dekat ialah ayah kami yang berperanan sebagai penasihat dalam semua hal ehwal, berkaitan rumah dan pejabat,” katanya yang masih menetap bersama adik-beradiknya di rumah agam Allahyarham Sosilawati di Gombak.

Rita yang akan mengerjakan umrah bersama tiga adiknya Mac ini berhasrat memanjatkan doa untuk ibunya di depan Kaabah.

“Kalau betul mak Rita sudah tiada, kami berdoa semoga dia ditempatkan di kalangan ahli syurga,” katanya.

Readmore..

Thursday, December 16, 2010

Sebutan semula kes Sosilawati 27 Januari depan

| Thursday, December 16, 2010 | 0 comments


BANTING: Mahkamah Majistret Telok Datok di sini, pagi ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan kes seorang peguam, N Pathmanabhan dan tiga yang lain didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dan tiga individu lain, ke Januari depan untuk sebutan semula kes itu.

Majistret Hurman Hussain menetapkan 27 Januari depan untuk sebutan semula kes itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff, supaya kes itu ditangguhkan.

Ia bagi menunggu keputusan beberapa permohonan yang difailkan, termasuk semakan terhadap hukuman dan rayuan bekas pekerja ladang milik Pathmanabhan yang dihukum penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah membakar dan melupuskan mayat jutawan kosmetik, Sosilawati 47, pemandunya, Kamaruddin Shansudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38.

Readmore..

Saturday, September 25, 2010

Kes Bunuh Datuk Sosilawati: Sosilawati tidak dirogol

| Saturday, September 25, 2010 | 0 comments

KUALA LUMPUR: “Sosilawati tidak dirogol!” tegas Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin ketika menafikan laporan beberapa akhbar tempatan kelmarin yang mendakwa polis menyiasat kemungkinan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang dibunuh dan dibakar bersama tiga rakannya bulan lalu, turut dirogol.

BAWA...kenderaan polis membawa suspek keluar dari ladang milik suspek utama di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, semalam.
BAWA...kenderaan polis membawa suspek keluar dari ladang milik suspek utama di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, semalam.
SIASAT...suspek utama sekali lagi dibawa ke pejabat guamannya, semalam.
SIASAT...suspek utama sekali lagi dibawa ke pejabat guamannya, semalam.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Mohd Bakri berkata, laporan mengatakan polis sedang menyiasat kemungkinan jutawan kosmetik itu dirogol tidak benar sama sekali.


“Pihak polis ingin menegaskan laporan media yang mengatakan kemungkinan Sosilawati dirogol tidak benar. Tujuan kelapan-lapan suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) adalah untuk pemeriksaan bagi memastikan mereka berada dalam keadaan baik serta mengenal pasti jika ada sebarang kecederaan atau penyakit sebelum dibenarkan berjumpa peguam mereka.


“Selain daripada tujuan di atas, tiada sebarang pemeriksaan lain dipohon kepada pihak hospital oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas kelapan-lapan suspek berkenaan,” katanya.


Beberapa akhbar (bukan Harian Metro) melaporkan pada Rabu lalu, semua lapan suspek terbabit dibawa ke HKL untuk diambil sampel darah dan air mani untuk menjalani ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi menyiasat maklumat terbaru kemungkinan Sosilawati dirogol.


Semua suspek dibawa ke tingkat satu, Bahagian Kecemasan dan Trauma HKL dengan kawalan ketat polis kira-kira jam 3 petang termasuk dua daripada mereka yang ditahan kerana disyaki memeras ugut isteri seorang saudagar batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India, yang dilaporkan hilang selepas berjumpa suspek utama pembunuhan Sosilawati atas urusan perniagaan, 18 Januari lalu. Mengulas dakwaan suspek mereka tidak diberi peluang mempertahankan diri sebelum ditahan reman, selain dipukul serta dipaksa menandatangani beberapa dokumen, Bakri meminta suspek membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan.


Sementara itu di Putrajaya, Bernama melaporkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin, semalam hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan dan menyerahkan bukti berhubung dakwaannya yang mengaitkan polis dengan kes pembunuhan Sosilawati.


Beliau tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 3.20 petang dan selesai memberi keterangan sejam kemudian. Ketika ditemui pemberita, Shamsul Iskandar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai bukti yang diserahkan kepada SPRM.


Sebaliknya, beliau mengulangi kenyataannya menafikan polis pernah menghubunginya supaya tampil memberi keterangan berhubung dakwaannya itu. “Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara itu. Saya hanya tahu melalui media dan sepatutnya saya dimaklumkan mengikut saluran undang-undang yang betul. “Saya hendak tahu apa kesalahan saya, apa perlu saya jelaskan, apa jenis kerjasama boleh saya berikan,” katanya. Samsul berkata, jika ingin memanggil beliau memberi keterangan, polis perlu menggunakan prosedur undang-undang seperti termaktub dalam Kanun Acara Jenayah. “Jangan didik masyarakat datang ke balai polis memberikan keterangan melalui SMS, Facebook dan telefon bimbit,” katanya.


Rabu lalu, polis memberi amaran waran tangkap akan dikeluarkan terhadap Shamsul Iskandar jika beliau terus mengelakkan diri daripada memberi keterangan berhubung dakwaannya itu. Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, Shamsul Iskandar sepatutnya hadir di balai polis jika benar mempunyai bukti kukuh mengenai dakwaannya itu.

Readmore..
Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com