Monday, September 12, 2011

'Dunia Kecil' Liyana Fizi

| Monday, September 12, 2011 | 0 comments



LIYANA FIZI, si pendendang suara seperti buluh perindu ditiup angin tatkala dinihari ini sedang bercerita. Isi ceritanya disatukan dan dalam 10 wadah yang bertali dalam balutan penuh rasa harmoni, sebuah album layaknya.

Si manis ini sudah lama berdampingan dengan para pemuzik ibu kota. Vokalnya terlebih dulu sudah menjelajah telinga ke telinga. Kali ini dia tampil solo setelah puas menjadi vokalis dan pemanis grup Estrella. Tetapi tidak sendirian di atas pentas, dia ditemani teman sejiwa bermuzik di barisan sessionist. Cuma kariernya di garis status solo.

Vokalis sekali gus gadis pemetik instrumen berdawai ini makin menjadi pemandangan yang indah dilihat dan dikecapi. Namun Liyana bukanlah gadis tipikal yang ada dalam pemikiran anda. Dia bukan sekadar wajah manis di atas panggung atau acara.

Ujarnya, seorang temannya pernah berkata, ‘dunia Liyana kecil tapi impiannya besar.’ Tetapi dengan buah tangan perdananya ini dia mahu berskala besar. Memberi dan menerima dengan imbuhan pada kadar yang lebih terbuka. Kita berbicara dan berkenalan dengan si manis yang diberi jolokan song bird dan penerokaan dunianya.


LIYANA bakal bersatu dengan pemuzik Izaad, Pito, Ruviyamin dan kemunculan khas personel grup 4Peniti dari Bandung iaitu Rudy Zulkarnaen, Ammy C Kurniawan dan Ari Renaldi pada malam 11 September ini.

Pembacaan di sebalik

Satu hal yang tidak dapat disangkal apabila melihat wanita muda berusia 27 tahun ini adalah kemanisan yang diberikan baik daripada segi fizikal mahu pun material yang sedang dijuangnya.

Album Between The Lines adalah taruhan kemanisan yang dibawanya. Bukan sekadar memuji namun setelah beberapa kali mentelaah produk perjuangannya ini, terasa damai yang cuba dibawanya. Setiap lagu punya penceritaan yang tersendiri, gaya dan sentuhan seorang Liyana Fizi.

Cerita-cerita pelbagai genre itu dibalut dengan susunan muzik dan lapisan instrumen yang kaya. Bukan sekadar bunyi asas dram, gitar dan bass. Lebih enak album ini diberi tambahan indah celo dan biola alunan Ammy C. Kurniawan. Instrumen yang dekat dengan kata damai.

Harmoni yang dibawa oleh empunya diri kelahiran Kuala Lumpur ini juga suntikan kembara yang dijalaninya. Dia berkelana di Bandung, Indonesia selama dua minggu untuk mendalami muzik. Mencari sesuatu di luar kotak, adalah tidak salah menimba dan sesekali mengerling warna hijau rumput di luar. Semuanya atas dasar kecintaan terhadap suatu yang dinamakan muzik.

“Material untuk album Between The Lines ini dikumpul selama dua tahun dan proses rakamannya dalam masa dua minggu. Kalau ditanya tentang durasi dua tahun, ini kerana kekangan masa dan kewangan. Semuanya dijalankan secara bebas,” ujar bekas vokalis grup Estrella ini.

“Proses kreatifnya bermula dengan mendapatkan melodi dan kemudian menulis lirik, bab lirik itu juga mengambil masa. Ada yang lama dan ada yang sehari dua prosesnya,” ujar Liyana yang kerap mendapat ilham menulis lirik dalam kereta.

Tambah Liyana Fizi yang seakan sudah punya stail rambut ‘fringe’ ini, momen menulis lagu biasanya memerlukan dirinya sepi daripada dunia luar. Mahu sendiri dan mengelamun sambil memetik gitar, ilham ketika itu datang sendiri dan itu momen yang dinanti-nanti.


LIYANA bakal berlagu di Bentley Music, Mutiara Damansara untuk persembahan solonya.

Tidak hairan apabila membaca satu persatu, lirik ini tidak ketara jauh untuk disentuh ke dalam setiap pendengar. Ada cerita normal yang disuarakan di sebalik vokal dan gaya bercerita Liyana.

“Saya cuba meletakkan faktor empati dalam menulis lirik. Bukan sekadar sebuah pengalaman personal. Harapan hati saya untuk menyatukan pecinta muzik melalui album ini. Sewaktu proses rakaman, saya sedar bahawa apa sebenarnya yang saya mahukan adalah para pendengar dapat mencari sesuatu yang dekat dengan hari mereka,” luahnya yang turut mengkhususkan sebuah lagu buat arwah neneknya.

Sentuh perihal tajuk ‘Between The Lines’ yang dijadikan tema album perdana solonya, Liyana tersenyum menyambung penceritaan tersurat dan tersirat seperti judul albumnya.

“Seperti definisi album itu sendiri, banyak yang tersirat dalam album ini. Kita tidak boleh menghakimi sesuatu dengan hanya melihat. Banyak yang saya utarakan dalam album ini contohnya lagu Light Writing bercerita tentang kekecewaan manakala Kaku berkisar perihal perkauman. Banyak benda nyata yang berlaku di sebalik sesebuah kejadian, bukan?” tanya manja menyedarkan bahawa realiti ini bergulir serentak dengan hikmah yang berlaku disebaliknya. Ada terselit faktor implisit dalam setiap kejadian.

Mahu terus meneroka

Si pemetik gitar ini mengaku tidak tahu skil yang dinamakan strum untuk gitar sebaliknya dia lebih selesa hanya memetik.

Atas bantuan Izaad Amir (penerbit album, pemain gitar), Pito (bass) dan Ruvi (dram, vibrafon dan perkusi), mereka berjalan membawa penerokaan muzik.

“Lagu Killing Me ditulis sewaktu saya di Britain. Decisions, Decisions pula hasil nukilan di Bandung,” ujarnya berbicara tersurat tentang jelajah muziknya.

Menghirup udara Bandung sambil menyiapkan album ini, ada jelajah jiwa dalam dirinya yang mengalun lembut antara sedar dan tidak. Dia melihat dunia baru, lebih besar. Dulu dunianya pernah diwartakan cuma kecil berbanding cita-citanya.

“Saya melihat pemuzik di sana bermain dengan penuh jiwa. Dedikasi mereka berlainan terhadap muzik. Feel mereka mendalam. Saya melihat dunia yang besar,” ujarnya dalam nafas lain bukan menidakkan dunia pemuzik tempatan cuma mencari satu sisi yang perlu dipelajari oleh dirinya.


MENDENGAR suaranya kadang kala terbayang merdu burung bersiul.

“Budaya atau scene muzik juga berbeza-beza. Itu yang mahu saya belajar dan terokai. Lihat dan dalami,” petah Liyana yang menjalani proses rakaman di Aru Studio, Bandung, Indonesia. Malah dirinya sempat membuat persembahan di daerah tersebut dan sambutan yang diterima sangat menyejukkan hati.

Untuk kembara yang terdekat, ada dua perjalanan yang bakal diterokai. Dua udara dan suasana yang mahu ditatap dengan mata dan dialami dengan jiwa.

Bakal membawakan album Between The Lines dengan taruhan single perdana Light Writing dan single kedua berjudul Jatuh, muzik ini bakal menerawang udara Jepun pada November ini. Terdekat jua, halwa telinga ini akan sampai ke pendegaran pecinta baru dan lama Liyana di Singapura.

“Indonesia juga harapnya dapat sampai,” celahnya penuh doa.

Paling dekat, Liyana bakal membawa geseran merdu suaranya di Bentley Music, Mutiara Damansara pada tarikh 11 Disember ini. Tanda waktu anda sekitar 8 malam kerana jelajah muzik Liyana bakal bermula malam itu di lokasi anjuran Bentley tersebut.

Langgam melodinya bakal berkumandang. Bersatu dengan pemuzik yang sejiwa dengannya, Liyana membuka kepada satu dunia. Dunia yang lebih besar buat dirinya dan buat diri pecintanya.

www.kosmo.com.my

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com