Showing posts with label laman sosial. Show all posts
Showing posts with label laman sosial. Show all posts

Saturday, July 21, 2012

Hab rujukan pada bulan puasa

| Saturday, July 21, 2012 | 0 comments




PADA tahun-tahun sebelum ini, Asrol Iberahim akan mendengar radio atau membaca surat khabar harian untuk mendapatkan waktu solat terutamanya pada bulan Ramadan untuk berbuka puasa.

Apabila teknologi telefon pintar menjadi fenomena, melayari internet ketika berada di luar benar-benar menyenangkan lelaki berusia 29 tahun itu.

Dia hanya perlu menaip alamat laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada skrin sesentuh telefon untuk mendapatkan waktu solat yang diyakini.

"Mak saya pula gemar memasak jadi, kerap juga saya melayari laman web resipi untuk dicetak. Ayah juga selalu hendak pinjam telefon saya, katanya mahu mendengar ceramah dalam laman YouTube atau membaca artikel berkaitan agama pada bulan puasa," ujar Asrol ketika ditemui di Cheras, Kuala Lumpur.

Jika diperhatikan terutamanya di laman-laman sosial Facebook mahupun Twitter, apabila menjelang bulan Ramadan kebanyakan orang berebut-rebut mengemas kini status dan berkongsi pautan yang berbentuk keagamaan.

Namun, sejauh mana kebenaran panduan yang diberikan sukar untuk disahkan lebih-lebih lagi yang melibatkan keagamaan dan perkara yang jarang kedengaran, kata Asrol.

Pada pendapatnya, jika terdapat sebuah laman web yang menjadi hab merangkumi semua keperluan yang selalu dicari pada bulan Ramadan dan diyakini sahih, ia pasti menyenangkan orang ramai.

Sehubungan itu, sempena kedatangan bulan Ramadan 1433 Hijrah yang jatuh pada tarikh 21 Julai lalu, enjin carian yang dikenali ramai, Yahoo! memperkenalkan laman web khusus untuk Ramadan.

Dikenali sebagai laman Ramadan Mubarak, ia boleh diakses dengan menaip alamat berikut, http://my.news.yahoo.com/ramadan_mubarak/.


LAMAN Yahoo! Ramadan juga boleh diakses dengan telefon pintar dan tablet.


Laman web khas Ramadan

Tidak berdiri sebagai sebuah laman web tunggal, ia merupakan salah sebuah seksyen pada laman web Yahoo! Malaysia News.

Ramadan Mubarak yang boleh diakses dengan hanya menekan butang itu menambah seksyen-seksyen Yahoo! News sedia ada seperti Malaysia, Olimpic, World, Tech, Entertaiment dan banyak lagi.

Seksyen Ramadan menggunakan warna hijau sebagai latar laman muka sejajar dengan rona yang cukup sinonim dengan Islam.

Menyasarkan pengunjung internet beragama Islam, ia menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu. Terdapat enam subbahagian iaitu laman utama, artikel Ramadan, resipi Ramadan Chef Wan, galeri imej, waktu solat dan kolum agama.

Umum mengetahui bahawa bulan Ramadan merupakan bulan ibadat bagi penganut Islam jadi, waktu solat yang tepat dan sahih amat penting.

Bukan sahaja sebagai penanda waktu berbuka puasa, tetapi ia juga amat penting dalam melatih orang ramai supaya lebih serius dalam menepati masa.

"Kami melakukan kemas kini masa solat dengan kekerapan sekali sehari pada setiap hari. Rujukan kami ialah laman web Jakim," kata Ketua Pengarang Yahoo! Malaysia, Marc Lourdes pada majlis pelancaran yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor.

Dalam bahagian waktu solat itu, Yahoo! hanya memilih waktu Subuh dan Maghrib yang penting pada bulan Ramadan memandangkan jadual penuh waktu solat boleh diperoleh melalui laman web Jakim.

Sebagai pengesahan waktu, pihak Yahoo! turut mencatatkan masa dan tarikh kemas kini serta pautan dengan laman web Jakim.

Bagi penganut agama Islam yang sentiasa mahu mendidik diri dengan ilmu agama, seksyen kolum agama disediakan khas bawah kelolaan bekas mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Menggunakan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW dan ayat al-Quran, ia boleh membimbing orang ramai dengan lebih mudah.

Selain itu, petikan daripada hadis Nabi turut diselitkan pada setiap laman subbahagian yang ada pada laman Ramadan Mubarak.


Satu lagi aspek yang sering dikaitkan dengan bulan Ramadan ialah makanan. Justeru, sebuah subbahagian yang dikenali sebagai resipi Ramadan Chef Wan didedikasikan bagi tujuan itu,

Duta makanan Malaysia, Chef Wan berkongsi idea dan resipi masakan tradisional seperti ayam masak merah, urap nangka dan opor daging Pekan.

"Chef Wan dan Dr. Asri merupakan individu yang cukup mahir dalam bidang masing-masing," ujar Lourdes lagi.

Pada laman utama, berita-berita terkini yang berkait rapat dengan umat Islam dipautkan pada laman utama supaya dapat mencapai kelompok sasaran.

Bagi menambah pengetahuan pelayar internet, seksyen kolum gambar yang dipautkan dengan Flickr membolehkan orang ramai melihat suasana bulan suci ini di seluruh dunia.

Fakta-fakta ringkas berbentuk trivia turut disertakan sekali bersama-sama gambar bagi menambah pemahaman orang ramai.

Yahoo! yang juga merupakan pengendali laman Flickr membolehkan pelayar melayari terus ke akaun tersebut di alamat www.flickr.com/groups/ramadan_yahoo/.


Pertama kali di Malaysia

Pengguna laman sosial paling popular, Facebook dapat berkongsi setiap artikel yang dibaca pada muka depan laman tersebut kerana ia juga dipautkan bersama.

"Laman web ini sememangnya ditujukan khas bagi menyambut bulan Ramadan jadi, ia akan dikeluarkan daripada Yahoo! News pada 24 Ogos ini," kata Pengarah Jualan Yahoo! Malaysia, Jon Tjin Kee yang turut sama berada pada majlis tersebut.

Laman Ramadan Mubarak yang buat pertama kali diperkenalkan di negara ini pada tahun ini sudah pun dimulakan pada tahun lalu di Indonesia.

Di sana, laman web tersebut mendapat sambutan yang sangat baik, malah jumlah pengunjung yang melawat sepanjang bulan puasa tahun lalu melebihi sasaran awal iaitu sekitar 250,000 orang pelawat.

"Kami sangat yakin, laman Ramadan Mubarak dalam Yahoo! Malaysia juga akan mencapai angka yang melebihi daripada sasaran yang dibuat," ungkap Lourdes lagi.


MEMBACA al-Quran dan muhasabah diri dengan bahan bacaan agama amat digalakkan sebagai amalan pada bulan puasa.

Berdasarkan perangkaan yang diberikan pihak Yahoo! Malaysia, di negara ini, seramai 8.2 juta pengguna unik menggunakan Yahoo! dan ia merangkumi 70 peratus populasi internet.

Yahoo! Malaysia memiliki dua bahasa dan telah menjadi tempat pertama pilihan pelayar untuk carian berita, e-mel, kewangan, pesanan pendek dan hiburan.

Laman Ramadan Mubarak yang mendapat tajaan produk kumur Listerine perasa teh hijau itu memakan masa yang agak lama untuk dibangunkan.

Ketua Pengurus Produk, Uttam Chopra berkata, daripada peringkat menjana idea sehinggakan mengisi kandungan yang dipamerkan memakan masa lebih kurang lima bulan sebelum diaktifkan pada bulan Julai.

"Ia merupakan usaha global kerana dalam pasukan tersebut ia terdiri daripada banyak kakitangan mahir dalam pelbagai bidang. Setiap pakar didatangkan daripada pelbagai negara," ujar Uttam.

Laman web Yahoo! Ramadan juga boleh dilayari menggunakan tablet dan telefon pintar sama ada menggunakan sistem operasi IOS atau Android.

Readmore..

Saturday, March 10, 2012

Media Sosial: Antara fakta dan dakyah

| Saturday, March 10, 2012 | 0 comments


KUALA LUMPUR: Populariti media sosial sebagai penyebar maklumat pada kalangan belia khususnya bukan satu mitos, apatah lagi rata-rata anak muda dapat dilihat ralit dengan telefon pintar mereka tanpa mengira tempat.

Tinjauan rambang mendapati kelompok berusia antara 18 dan 40 tahun ini yang meliputi 40 peratus penduduk negara, banyak bergantung kepada media sosial seperti Twitter, Facebook dan blog serta portal berita sebagai sumber maklumat.

Namun, jangan terkejut jika dikatakan tidak semua menerima bulat-bulat berita yang disebar menerusi laman terbabit, sebaliknya ramai yang berusaha memastikan kesahihan maklumat termasuk merujuk kepada media arus perdana yang kini mudah diakses menerusi internet.

Berkongsi pandangannya dengan Bernama, Ranes Subramaniam, 27, berkata walaupun maklumat diperolehi dengan cepat menerusi media sosial, seseorang itu harus menggunakan budi bicara dan pemikiran yang rasional dalam menilainya.

Pengurus kewangan itu berkata memandangkan limpahan maklumat di internet mudah diakses, amat penting bagi pengguna memastikan maklumat berkenaan boleh dipercayai.



"Apabila saya membaca sesuatu maklumat yang disebarkan menerusi Twitter, perkara pertama yang saya lakukan ialah mencari berita rasmi dan saya bandingkan kedua-duanya bagi memastikan perkhabaran itu tulen.

"Maklumat daripada media sosial tidak boleh dipercayai sepenuhnya kerana ada yang melibatkan emosi, fahaman politik malah perasaan benci kepada parti atau pemimpin politik," katanya.

Ranes berkata walaupun sosial media alat yang berkesan sebagai bahan bacaan alternatif, laman terbabit juga boleh disalah guna sesetengah orang termasuk ahli politik untuk menyebarkan dakyah mereka.

"Laman terbabit sepatutnya digunakan untuk berhubung dengan orang ramai bagi membincangkan dasar negara, bersetuju atau tidak bersetuju mengenainya dan banyak lagi. Dengan cara ini, dapat membantu meningkatkan kesedaran umum," katanya.

Bagi Norsyafiqah Abu Samah, 24, yang mengaku 'penagih' media sosial, beliau berasa tidak selesa untuk hanya bergantung kepada maklumat daripada media sosial.

Bakal doktor dari Universiti Kuala Lumpur itu yang juga seorang penulis blog, berkata media arus perdana masih relevan sebagai sumber sahih.

"Saya dan kawan-kawan di kampus tidaklah begitu naif untuk percaya bulat-bulat maklumat daripada internet, khususnya media sosial. Banyak lagi sumber lain yang boleh dipercayai untuk mendapat maklumat tepat dan media sosial hanya satu daripadanya," kata Norsyafiqah.

Bersetuju dengan beliau ialah penuntut Universiti Selangor, Muhammad Zaidi Maarof, 25, yang berkata kelonggaran polisi kerajaan mengenai internet wajar dimanfaatkan pengguna untuk mengupas lebih mendalam sebarang isu yang disebarkan medium itu.



Bagi pemerhati politik Khairuddin Mohd Zain, generasi muda kini lebih berhati-hati dalam menerima maklumat serta tahu berfikir secara rasional dan mendalam mengenai sesuatu isu sebelum membuat keputusan mengenainya.

Khairuddin yang juga anggota jawatankuasa alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata belia hari ini bijak menapis maklumat yang diterima baik mengenai politik, ekonomi, pendidikan atau agama.

Beliau juga menegaskan ahli politik dan pembuat dasar wajar menggunakan saluran ini untuk berhubung dengan orang ramai bagi mendapatkan maklum balas.

"Ahli politik sama ada dari parti yang memerintah atau pembangkang, sepatutnya tahu...Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) membawa politik ke dimensi baru apabila beliau sendiri aktif menggunakan rangkaian sosial.

"Ini bermakna beliau berani meruntuhkan benteng antara pemimpin dan orang awam, dan bersedia menerima kritikan langsung jika rakyat berasakan polisinya tidak dilaksanakan dengan baik. Saya anggap ini sebagai bertanggungjawab dan telus," katanya.

Justeru katanya, ahli politik termasuk Ahli Parlimen, pemimpin akar umbi atau badan bukan kerajaan juga harus memikul tanggungjawab mempromosikan cara lebih sihat menyebarkan malumat, memandangkan orang ramai memilih untuk mendapatkan maklumat secara terus daripada mereka.

Bagi pemimpin Belia 4B, Badrul Hisham Badruddin, jika penyebaran maklumat menerusi media sosial tidak dilakukan secara berhati-hati, pada akhirnya golongan muda akan menjadi lebih keliru.

"Ada terlalu banyak sumber...anda cuma perlu 'google' untuk apa sahaja yang anda mahu tahu dan maklumat mengenainya muncul sekelip mata, tetapi bagaimana mahu pastikan itu fakta sebenar?

"Bagi saya, media arus perdana masih boleh dipercayai, namun ini tidak bermakna kita tidak boleh terlibat dalam media sosial. Contohnya Bernama ada laman Facebook dan akaun Twitter sendiri.

"Paling penting di sini ialah melibatkan diri dan orang ramai akan menggunakan media sosial untuk mendapatkan berita daripada media arus perdana," katanya.

Berdasarkan statistik 78 juta 'hit' pada laman web Bernama.com bagi bulan Januari dan Februari lalu, barangkali tidak keterlaluan jika dikatakan semakin ramai kembali merujuk kepada media arus perdana sebagai sumber berita yang bertanggungjawab dan tidak berat sebelah. - BERNAMA

Readmore..
Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com