Sebar guna SMS
KUALA LUMPUR: Syarikat kosmetik dan kecantikan milik usahawan Bumiputera bakal mengalami kerugian berjuta-juta ringgit berikutan kemunculan `pembekal hantu' yang menyamar wakil pengedar tunggal kosmetik yang berupaya membekalkan produk pada harga jauh lebih murah.
Kegiatan pihak terbabit menimbulkan tanda tanya pemilik syarikat sebenar berikutan `suspek' yang menyebarkan tawaran itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mendakwa boleh membekalkan apa saja produk kecantikan jenama tempatan tanpa melalui pembekal atau stokis sah.
Pengarah Urusan produk kecantikan De' Wajah, Junaidah Kitting, yang turut menerima SMS itu berkata, tawaran jualan produk kecantikan pada potongan harga tidak munasabah iaitu mencecah 50 peratus tersebar meluas melalui SMS hampir kepada semua pemilik salun kecantikan dan stokis di seluruh negara.
Katanya, SMS terbabit yang mula disebar sejak dua minggu lalu mengandungi maklumat kononnya tawaran terbabit dibuat syarikat Yakin Jaya Enterprise, tetapi alamat syarikat itu tidak dinyatakan.
"Penghantar SMS mendakwa mereka boleh membekalkan semua jenis produk kosmetik dan kecantikan terkenal, antaranya NV, De' Wajah, Felisa, Aura Seri, Lasindah, De Putih, D'Ayu, JelitAyu, Bio Trim, Nurbeautyline, Crystal White, SirehEmas dan pelbagai produk tempatan lain pada harga jauh lebih rendah.
"Peniaga yang berminat dengan tawaran itu kemudian diminta membalas SMS itu dengan menyertakan maklumat nama dan lokasi salun untuk tindakan susulan," katanya.
Junaidah berkata, penghantar SMS itu yang memperkenalkan diri sebagai 'Ki' hanya meninggalkan nombor telefon bimbit untuk dihubungi.
"Hasil maklumat yang dikumpul, seorang ahli sindiket itu didapati pernah muncul di satu daripada stokis kami di Tangkak, Johor dan Melaka.
"Ahli sindiket terbabit yang juga wanita berusia lingkungan 30-an turut membawa katalognya sendiri mengandungi gambar pelbagai produk kecantikan ditawarkan," katanya.
Anehnya, hampir semua produk kecantikan terkenal tempatan dipamerkan dalam katalog terbabit yang ditunjukkan kepada stokis berkenaan. Wanita itu kemudian menawarkan harga pembelian produk sama melalui syarikatnya dengan harga diskaun mencecah 50 peratus.
"Bagaimanapun, ketika ditanya bagaimana dia mampu memperoleh bekalan produk kecantikan itu tanpa melalui syarikat atau kilang pengeluar, wanita itu enggan menjawabnya.
"Ada kemungkinan sindiket ini melakukan penipuan dengan menciplak atau meniru produk sedia ada di pasaran untuk melumpuhkan usahawan tempatan," katanya.
Junaidah berkata, sebagai pemilik dan pengedar produk De' Wajah yang tulen, dia tidak pernah memberi hak penjualan kepada mana-mana pengedar tunggal melainkan stokis dilantik sah di setiap negeri.
"Saya bimbang sindiket ini mampu mengeluarkan produk tiruan sama dengan produk tulen hingga menyebabkan pengedar atau pembeli terpedaya," katanya.
Sementara itu, pengasas produk kecantikan Nouvelle Beauty Centre, Sosilawati Lawiya turut bimbang ada pihak tertentu cuba mengaut keuntungan atas angin dengan menawarkan produk kecantikan jenamanya melalui SMS.
Dia yang tidak pernah memberi hak pengedaran atau penjualan kepada syarikat lain percaya taktik berkenaan adalah satu penipuan untuk menjatuhkan usahawan Bumiputera.
"Paling dibimbangi jika produk tiruan yang dibekalkan sindiket ini menyebabkan pengguna mengalami kesan sampingan negatif, menyebabkan kami sebagai pengedar sah dipersalahkan.
"Jika ini berterusan, perniagaan kami pasti terjejas, malah stokis kami di setiap negeri yang menjual produk kepada salun dan pusat kecantikan turut menerima kesan negatif," katanya.
Sosilawati berkata, lebih membimbangkan jika sindiket terbabit sengaja menggunakan taktik berkenaan untuk mengutip wang deposit daripada mangsa sebelum menghilangkan diri.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
5 days ago
0 comments:
Post a Comment