Wednesday, November 3, 2010

Ketidakpuasan Keputusan Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23)

| Wednesday, November 3, 2010 | 0 comments



MENANG anugerah terbesar, Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) baru-baru ini membuktikan usaha produksi KRU Studios mengangkat genre filem muzikal tidak sia-sia.

Kejayaan filem arahan sulung Edry Abdul Halim ini bukan saja menambat perhatian lima juri profesional yang bertanggungjawab membuat keputusan, malah lebih bermakna KRU Studios membolot tujuh anugerah lain.

Edry yang tidak tercalon pengarah terbaik tetap berbangga dengan kejayaan Pengarah Harapan Terbaik. Kemenangan ini dikongsi menerusi anugerah Skor Muzik Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Fimie Don), Pereka Kostum/Busana Terbaik (Hasnan Yaacob) dan Penataan Seni Terbaik (Anuar Paharudin/Johan Lucas).

Begitu juga, produksi ini cemerlang menerusi Anugerah Filem Komedi Terbaik menerusi My Spy arahan Afdlin Shauki dan Lagu Tema Asal Terbaik, Menggegar Dunia ciptaan Edry.

Di sebalik kegembiraan yang sepatutnya dikongsi dengan penggiat seni lain dan masyarakat selaku penonton, segelintir karyawan tempatan pula meluahkan rasa tidak puas hati mengenai keputusan yang dibuat.

Ini disuarakan bekas pemenang Pengarah dan Filem Terbaik, FFM21, Mamat Khalid serta Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang memberikan kenyataan panas, baru-baru ini.

Magika pada mereka dianggap tidak layak menang kerana gagal meraih anugerah utama lain seperti Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik mahupun Lakon Layar Terbaik. Senario ini dilihat berbeza dengan majlis anugerah di luar negara.

Seperkara lagi yang dikongsi dua pengarah berpengalaman ini adalah mempersoalkan kredibiliti juri yang dilantik penganjur, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Mereka sependapat menyatakan FFM23 seperti acara pengagihan anugerah sama rata antara filem yang bertanding.

Bagi Edry, kritikan yang dilontarkan pada Magika diterima secara terbuka tanpa bersikap mahu membalas dendam dengan mengeluarkan kenyataan negatif.

Ketika ditemui pada majlis kesyukuran yang diadakan di pejabat KRU Studios, Cyberjaya, Edry menyatakan dia tidak mahu kejayaan Magika mencetus hubungan dingin antara penggiat filem tempatan untuk bergaduh.

“Sejak Cicak-Man bertanding pada FFM20, kami tidak pernah mengadu dengan kekalahan yang diterima. Mengambil kenyataan Mamat sendiri ketika menang FFM21 lalu, saya juga berkata walaupun Magika tidak memenangi kategori lain seperti Cerita Asal Terbaik dan Lakon Layar Terbaik tetapi ini bukan bermaksud filem ini tidak boleh memenangi kategori Filem Terbaik.

“Begitu juga, saya percaya keputusan juri muktamad dan tidak menyalahkan filem lain tetapi kemenangan Magika dipilih daripada filem lain.

“Saya maafkan Abang Mamat kalau dia tersasul dengan kenyataan yang diberikan terhadap kejayaan Magika. Mungkin apa yang dikatakan adalah luahan rasa kecewa.

“Namun, saya menganggap kejayaan yang diraih adalah rezeki kami. Sebolehnya, kami mahu tambah kawan dan bukan mencari musuh.

“Sebagaimana kita lihat, industri perfileman tempatan bukanlah sebesar mana. Kami mahu produser lain bekerjasama dengan kami dalam membangunkan kualiti filem tempatan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Yusry pula berkata, sudah menjadi lumrah keputusan FFM pada setiap tahun dipertikai. Ini didorong sikap pemenang yang memuji ketika menang manakala mempertikai tatkala tewas.

“Tiada soal kami mahu melobi juri untuk menang anugerah. Juri sudah membuat keputusan Magika diangkat sebagai pemenang dan ini seharusnya diterima semua,” katanya.

Dalam pada itu, tiga beradik ini termasuk Norman lebih suka bercakap mengenai perancangan dan misi mereka seterusnya dalam projek baru akan datang.

Norman berkata, mereka sudah ada senarai filem baru untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. Selepas Hikayat Merong Mahawangsa (HMM), tiga filem baru lain akan menyusul seperti Hantu Kapchai, Cinta Kura-Kura dan filem kedua Edry, 29 Februari yang membawa genre epik, cinta dan muzikal.

“Filem sekuel Cicak-Man 3D juga akan dihasilkan dengan menampilkan pelakon baru. Begitu juga, Karak arahan Yusry kini dijangka siap proses pasca produksi pada hujung bulan ini.

“Filem ini adalah bajet paling rendah yang pernah diterbitkan iaitu RM1.3 juta yang mengambil masa penggambaran selama 20 hari. Walaupun bajet rendah, kualiti tetap diberi perhatian,” katanya.

Menjadi kebanggaan, mereka juga membawa HMM ke acara American Film Market di Los Angeles, Amerika Syarikat yang bermula pada 4 November ini.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com