LUAHAN hati pelajar semester akhir peringkat ijazah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan menjadi pilihan paparan Talian Hayat minggu ini.
Mereka mengadu mengenai pembiayaan pengajian yang sungguh mengelirukan apabila mereka mendakwa diperdaya pengurusan kolej.
Pelajar yang membuat aduan kepada Talian Hayat adalah sebahagian dari 300 pelajar kemasukan September 2009 di IPTS itu yang bakal menduduki peperiksaan akhir Disember ini. Namun tumpuan terhadap pengajian terjejas akibat terlalu runsing memikirkan pembiayaan yuran pengajian serta wang sara diri yang belum selesai.
Penerbit dan pengacara Talian Hayat, Wan Kamaruddin Wan Ibrahim atau Wan K, berkata semua pelajar itu sudah melengkapkan pengajian di peringkat diploma di kolej yang sama. "Bagi menarik minat pelajar terbabit melanjutkan pengajian mereka pada peringkat ijazah untuk tempoh satu setengah tahun saja, pihak kolej didakwa menaburkan janji manis bahawa pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) dikatakan akan membiayai yuran pengajian pelajar.
"Malangnya sekitar Julai 2010, semua pelajar amat berduka cita apabila dimaklumkan pembiayaan pengajian dari pihak Mara tidak dapat dipertimbangkan. Kesan dari itu pihak kolej berusaha pula mendapatkan pembiayaan pengajian dari PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).
"Apa yang menjadi keresahan pelajar terbabit adalah perjanjian dari pihak PTPTN pula didakwa mengelirukan dengan jumlah dan tempoh pembiayaan yang tidak relevan.
"Untuk rekod setiap pelajar memerlukan pembiayaan sekitar RM45,000 termasuk wang sara diri bagi program ijazah selama setahun setengah. Sebaliknya perjanjian yang perlu ditandatangani pelajar memperincikan jumlah pembiayaan berjumlah RM70,000 bagi tempoh pembelajaran tiga tahun," atanya.
Jelas Wan K, menambah derita pelajar terbabit, biarpun semua pelajar dijangka menamatkan pengajian Disember ini, namun wang sara diri yang dimasukkan ke dalam akaun pelajar hanya RM100 bagi satu semester. Ini memberi lebih tekanan kepada pelajar apabila mereka terpaksa bergantung kepada keluarga untuk pelbagai perbelanjaan di semester akhir yang tinggi.
"Kebanyakan pelajar berasal dari luar bandar dan mempunyai latar belakang keluarga yang kurang berada. "Lebih menyakitkan hati apabila pihak kolej terbabit didakwa cuba mengelak dari memberi penjelasan yang mereka perlukan. Tiada tarikh jelas bila wang sara diri mereka akan dimasukkan pihak kolej ke dalam akaun masing-masing," katanya.
Talian Hayat cuba merungkai kekusutan dengan membawa aduan pelajar terbabit kepada perhatian pihak PTPTN dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sendiri. Kepada bakal pelajar di IPTS, jangan lupa saksikan episod seterusnya Talian Hayat, di ntv7, jam 7.30 malam ini sebagai pengajaran dan panduan bagaimana cara memilih IPTS dengan bijak.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
4 days ago
0 comments:
Post a Comment