MANAMA: Iran tidak akan menggunakan kekerasan terhadap negara Islam jirannya, kerana 'jiran kami adalah Muslim,' kata Menteri luarnya, Manouchehr Mottaki pada persidangan keselamatan Asia Barat semalam.
Beliau memberi jaminan demikian, selepas Amerika Syarikat mendakwa negara Arab bimbang dengan cubaan Teheran yang didakwa mahu menghasilkan tenaga nuklear.
“Kami tidak pernah menggunakan kekerasan negara Islam jiran kami. Kuasa anda di wilayah ini adalah kuasa kami dan kuasa kami adalah kuasa anda,” katanya.
Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton dalam ucapannya kelmarin berkata Amerika bimbang dengan program nuklear Iran dan kebimbangan itu dikongsi negara jirannya.
Mottaki sebaliknya meminta negara Islam tidak tunduk ‘kepada tekanan pihak luar yang mahu memecahkan kita dan mewujudkan keadaan tidak stabil’ sambil menambah, ‘kehadiran kuasa asing tidak akan membantu menstabilkan keselamatan di wilayah ini’.
Beliau yang menggesa kerjasama dipertingkatkan di kalangan negara Arab menegaskan, adalah penting bagi Iran mengekalkan kestabilan dan keselamatannya.
“Iran dan negara Arab menyediakan kebanyakan sumber bahan api dunia dan kerana itu negara ini berazam menjamin keselamatan antarabangsa dalam tenaga.
Sementara itu Raja Abdullah dari Jordan dalam ucapannya berkata rundingan damai Israel-Palestin mesti diselamatkan daripada kegagalan bagi memastikan kestabilan di wilayah itu keseluruhannya. – AFP
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
4 days ago
0 comments:
Post a Comment