SEHARI sebelum pertembungan Malaysia-Indonesia berlangsung, media tempatan mula mengasak ketua jurulatih, K Rajagobal dengan pelbagai soalan provokasi dan semuanya berkisar kepada semangat anti-Malaysia sekali gus memaksa campur tangan pengurus Indonesia, Andi Darussalam Tabusalla.
Soalan seperti mampukah Malaysia mengetepikan sorakan penyokong fanatik Indonesia dan bagaimana Malaysia berdepan puluhan ribu penyokong Indonesia seperti diutarakan wartawan tempatan pantas ditepis Rajagobal yang lebih berminat membicarakan soal persiapan pasukannya berbanding melayan provokasi itu.
“Kami ke sini untuk menyertai pertandingan dan itulah yang kami lakukan. Saya yakin pemain sudah bersedia bertemu tuan rumah,” kata Rajagobal.
Andi Darussalam pula mencelah dengan berkata, bola sepak tidak boleh dicampur dengan masalah politik dan beliau meminta penyokong Indonesia tidak terlalu mengikut perasaan dan berdisiplin pada pertemuan di Stadium Gelora Bung Karno, jam 7 malam waktu tempatan, hari ini. “Semuanya mahu mempersembahkan permainan menarik. Justeru tidak timbul persoalan seperti yang tuan-tuan timbulkan,” kata Andi pada sidang akhbar yang diadakan di Hotel Sultan, petang semalam.
Rajagobal ketika diminta mengulas formasi yang diterapkan, sempat bergurau dengan mengatakan ilham mencipta formasi itu hanya datang dalam mimpinya, malam ini (semalam).
“Saya mengamalkan formasi mengikut keperluan. Ada kalanya saya memilih menggunakan formasi 4-4-2 dan ada kalanya 4-3-2-1. Ia terpulang kepada keadaan. Tunggulah malam nanti. Mungkin ilham itu datang dalam tidur saya,” seloroh Rajagobal sekali gus meredakan sedikit asakan wartawan tempatan.
Beliau sedar Indonesia tidak akan sesekali rela tewas di tangan Malaysia dan menganggap kapten Indonesia, Bambang Pamungkas bakal menjadi duri dalam daging buat anak buahnya malam esok.
“Bambang pernah dua tahun bermain di Malaysia dan mungkin dia menyalurkan maklumat mengenai kekuatan Malaysia kepada jurulatihnya tapi saya tidak bimbang dengan keadaan itu. Kami juga tahu serba sedikit mengenai kelebihan dan kekurangan Bambang. “Kami tidak memikirkan individu itu atau ini sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha mencipta peluang,” katanya.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
2 days ago
0 comments:
Post a Comment