Sunday, February 27, 2011

Pengusaha restoran rela tiada sijil halal

| Sunday, February 27, 2011 | 0 comments



PUTRAJAYA: Ada artis tempatan dan pemilik restoran mewah beragama Islam yang menjadi pengusaha restoran enggan mendedahkan bahan dan ramuan ‘rahsia’ digunakan dalam masakan di restoran mereka dalam borang permohonan pensijilan halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), kononnya agensi itu akan membocorkan rahsia keenakan juadah restoran berkenaan.

Sikap ego artis lingkungan 50-an dan pengusaha restoran berskala besar terbabit sebenarnya menimbulkan rasa curiga agensi berkenaan yang terpaksa menggunakan prosedur ditetapkan sebelum meluluskan pensijilan halal Malaysia kepada restoran berkenaan.

Malah lebih mengejutkan, artis terbabit mempertikaikan keperluan restorannya mendapatkan sijil halal apabila permohonannya tidak diluluskan kerana beranggapan sebagai seorang Islam, tidak memerlukan pengiktirafan berkenaan.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Abdul Hamid Mohamed Salleh, berkata artis terbabit membuat permohonan secara on-line bagi mendapat pensijilan halal Malaysia, baru-baru ini.

Katanya, permohonan artis terbabit tidak diluluskan lagi kerana tidak memenuhi syarat dalam prosedur yang ditetapkan.

“Malah, bagi mempercepatkan permohonan artis itu, kita mahu artis terbabit menjelaskan bahan tertentu yang digunakan di restorannya, selain punca bahan atau ramuan itu diperoleh.

“Ia bukan sesuatu yang sukar tetapi kita hairan mengapa permintaan atau penjelasan berkaitan bahan berkenaan tidak dilayan oleh artis terbabit.

“Jakim menggunakan prosedur yang ditetapkan bagi memastikan integriti pensijilan halal yang dikeluarkan benar-benar mematuhi standard yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di Putrajaya, semalam.

Bukan itu saja, Abdul Hamid berkata artis terbabit turut mendakwa tidak memerlukan pensijilan halal itu berdasarkan statusnya sebagai seorang Islam yang kononnya pasti menggunakan bahan tidak haram di restorannya.

Menurutnya, memang permohonan pensijilan halal itu tidak diwajibkan tetapi apabila artis itu membuat permohonan, beliau perlu mematuhi prosedur dan syarat yang ditetapkan.

“Sikap artis terbabit yang enggan mendedahkan bahan dan ramuan digunakan itu apabila diminta mengundang rasa curiga Jakim mengenai sajian makanan di restoran berkenaan.

“Apa yang kita minta adalah bagi memastikan standard yang ditetapkan dipatuhi dan kita hanya meminta penjelasan bahan dan punca bahan itu diperoleh sama ada dari dalam atau luar negara.

“Jika diperoleh dari luar negara, kita lihat sama ada bahan itu mendapat pengesahan halal daripada badan yang diiktiraf Jakim di luar negara,” katanya.

Tanpa berselindung, Abdul Hamid berkata, artis itu hanya perlu menjawab persoalan yang dibangkitkan bagi memudahkan proses permohonan dilakukan, seterusnya diluluskan.

Namun, katanya, apa yang berlaku, artis terbabit kononnya bimbang Jakim akan mendedahkan bahan dan ramuan yang menjadi ‘aset’ keenakan makanan di restoran itu kepada orang lain.

“Perkara ini sepatutnya tidak berbangkit kerana Jakim memiliki integriti bagi menjaga rahsia pengusaha restoran dan tidak sewenang-wenangnya mendedahkan kepada orang lain.

“Yang kita bimbang, bahan dan ramuan digunakan itu datang dari sumber mencurigakan atau tidak halal,” katanya.

Abdul Hamid berkata, artis terbabit sebenarnya tidak rugi jika memiliki pensijilan halal Malaysia kerana ia memberi lebih keyakinan kepada pengguna beragama Islam, terutama jika restorannya turut menyajikan makanan Barat.

Katanya, sehingga kini artis terbabit belum menjawab persoalan yang dibangkitkan dan sudah pasti ada yang tidak kena dalam bahan atau ramuan digunakan di restoran berkenaan.

“Saya menasihatkan artis terbabit dan pengusaha restoran Islam berskala tinggi supaya tidak menyalahkan agensi berkenaan jika permohonan mereka belum berjaya diluluskan.

“Ini kerana, Jakim mempunyai prosedur tetap yang perlu dipatuhi bagi memastikan pengusaha restoran terbabit menggunakan bahan yang tidak mencurigakan dalam penyediaan makanan di restoran makanan.

“Memang kita orang Islam tetapi yang menjadi persoalan, ada orang Islam tidak sedar atau sengaja buat tak tahu terhadap bahan tidak halal yang digunakan di restoran mereka dan prosedur disediakan itu bagi membantu mereka mewujudkan sebuah restoran yang benar-benar mematuhi standard pensijilan halal Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata, beliau masih menanti tindakan seterusnya daripada artis terbabit supaya permohonan mendapatkan pensijilan halal itu boleh diproses semula.

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com