JENAMA Imam Muda sudah meluncur laju tanpa memerlukan faktor penolak yang kuat. Tanpa disangka-sangka program realiti Islamik untuk mencari generasi pelapis imam daripada kalangan lelaki muda itu mencetuskan fenomena global.
Ketika mula disiarkan tahun lalu, ia secara automatik mendapat tempat di hati masyarakat tempatan tetapi menjelang penghujung program, beberapa agensi berita antarabangsa mula melaporkan berita itu secara konsiten.
Media Jerman dan Switzerland memberikan laporan meluas tentang Imam Muda. Program itu turut diuar-uarkan melalui media dan agensi berita seperti Reuters, AP, AFP, Wall Street Journal, The Daily Telegraph, Straits Times Singapura, Der Spigel (majalah Jerman) dan Daily Tribune.
Ia disaksikan penonton di Tokyo, Jepun, seluruh Eropah, Amerika Syarikat, Taiwan dan India.
Sampai sejauh itu kembara Imam Muda merentasi benua dunia, program yang menjulang Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan atau Asyraf Imam Muda sebagai juara itu meneruskan cita-cita ke musim kedua.
Sesi temu duga atau uji bakat yang bermula sejak 22 Januari lalu singgah Johor Bahru, Kota Bharu, Kota Kinabalu, Kuantan dan Alor Setar.
Sesi uji bakat di lokasi terakhir iaitu Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur turut dijalankan hari ini. Pencarian musim kedua dikatakan lebih mencabar dan turut dibuka kepada warga asing.
Memetik bicara Mudirnya, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz, beliau masih menyifatkan Imam Muda sebagai kejutan.
"Seperti hidayah Allah S.W.T. untuk masyarakat.
"Padahal Astro bukanlah stesen televisyen yang bersifat Islamik sepenuhnya. Di luar negara termasuk di negara Arab, tiada program seumpama Imam Muda.
"Kata seorang kenalan saya, persembahan menarik dalam Imam Muda diibaratkan sebagai denak. Ia seperti mengumpan denak di air tenang.
"Imam Muda juga begitu, ia harus jadi denak dalam berdakwah jika mahu dakwah itu ditonton dan diterima oleh masyarakat," katanya yang akur dengan tuntutan zaman.
Tambahnya, imam dahulu sangat berbeza dengan imam zaman sekarang.
"Jika program ini telah wujud ketika saya masih muda, saya juga akan mencuba nasib kerana ia sebuah program untuk kebaikan," kata Hassan.
SENSASI BINTANG: Setakat ini, bagaimana prestasi peserta yang datang ke sesi uji bakat, puas hati?
HASSAN: Saya tak ikuti semua sesi uji bakat, saya hanya memantau dari jauh. Saya akan terlibat sepenuhnya semasa pemilihan akhir nanti.
Setakat ini, Kota Bharu, Kelantan mencatat kehadiran peserta yang paling ramai, Sabah 'biasa-biasa' sahaja.
Tetapi paling saya terkejut apabila ada seorang pemuda yang kurang siuman, dia datang berjumpa saya dan minta saya ingatkannya tentang lokasi uji bakat sebab dia juga mahu cuba nasib.
Dia sangat minat dan tahu semua perkara tentang Imam Muda.
ASYRAF: Saya juga tidak sempat ke lokasi uji bakat kecuali di Kuala Lumpur.
Pasti situasi uji bakat Imam Muda sangat berbeza dengan suasana uji bakat program realiti hiburan?
HASSAN: Kebanyakan peserta yang datang segak-segak. Jika tidak berjaya, tiada yang bertindak terlalu agresif atau merayu-rayu minta dimasukkan ke dalam program.
Jika mereka lepas pusingan bacaan al-Quran serta ujian bahasa Inggeris dan bahasa Arab, peluang mereka agak cerah.
Aspek apakah yang dititikberatkan selain pengetahuan luas tentang agama Islam?
HASSAN: Saya menekankan lima kriteria. Pertama, mahu lahirkan imam sebagai pendamping generasi muda, yang tidak segan didekati masyarakat.
Kedua, penyampai berita yang menggembirakan sebagai jalan bahawa Islam itu mudah. Ketiga, mampu mengingatkan keterlanjuran masyarakat terhadap gejala sosial.
Keempat, mampu mencari model terbaik, ikon yang ada gaya dan menjadi ikutan dan kelima, imam muda harus jadi lampu yang bercahaya, cerminan jiwa.
ASYRAF: Saya sendiri pernah jadi imam sebelum masuk Imam Muda. Dari situ saya nampak generasi muda takut kepada imam. Rasanya imam muda kena lebih mesra dan berjiwa masyarakat.
Dulu, semasa saya sertai uji bakat, saya datang menjadi diri sendiri, tidak perlu pakai jubah cuma pakaian biasa dan bersongkok.
Tapi sekarang, ada masanya saya tak bersongkok jika keluar jalan-jalan. Penampilan diri itu penting, biar seimbang untuk diterima orang muda dan generasi lama.
Bagaimana dengan impak populariti Imam Muda sendiri, peserta datang mahu jadi imam atau kejar populariti?
ASYRAF: Populariti besar kesannya, yelah, bila orang agama dipopularkan ada yang bising dan lihat dari sudut negatif, dulu mungkin begitu. Mungkin ada yang datang mahu jadi popular tetapi saya rasa kebanyakannya mahu menyahut cabaran.
Impak Imam Muda ke atas hidup kalian sendiri?
HASSAN: Media elektronik sangat besar pengaruhnya, dulu pun saya ada terlibat dengan rancangan Al Kuliah tapi sekarang kalau ke mana-mana, orang akan tanya pasal Imam Muda.
Orang cerdik pandai kata, program ini untuk anak-anak dan program ini memang pengisi kerohanian. Mencari imam daripada kalangan lelaki muda, itulah tarikannya.
Dalam 100 peratus mungkin ada satu peratus yang pertikaikan kerana kelonggaran di sana sini. Kena ingat, ini program televisyen, tak boleh berat, kalau berat sangat orang tak tengok.
ASYRAF: Impaknya sampai sekarang, jadual saya dipenuhi undangan. Kalau nak keluar membeli-belah pun kena pilih masa.
Di kampung, macam-macam orang tanya bagaimana saya dibesarkan, sedangkan saya juga pernah nakal masa kecil. Tapi status juara Imam Muda sangat berat, orang ingat saya tahu semua benda, walhal dalam bidang yang bukan kepakaran saya.
Jangkaan Imam Muda musim kedua?
HASSAN: Mahukan mutu yang lebih baik, musim ini peserta dari luar Malaysia pun boleh masuk.
ASYRAF: Saya mahu tengok variasi latar belakang pendidikan peserta bukan daripada pengajian agama Islam semata-mata. Kalau boleh biarlah pengisian tahun ini lebih dahsyat daripada tahun lepas.
Siapa musuh utama kita?
4 days ago
0 comments:
Post a Comment