Sunday, March 13, 2011

MY WIRA wanita

| Sunday, March 13, 2011 | 0 comments



ZALEHA Idris, Annie Hay, Ding Mee Hong, Ng Pei Ling, Kanta Raj, Tan Meng Kaw, Nagula Thamridurai, Timah Anak Nyalu dan Chia Wei Yin bukan nama besar dalam apa-apa bidang, tetapi mereka segelintir daripada wira wanita yang tabah mengharungi pelbagai halangan akibat serangan penyakit artritis reumatoid (RA).

Kesanggupan mereka berkongsi pengalaman ketika berada pada tahap sangat lemah (apabila mendapat serangan RA) untuk dirakam dalam buku My Wira mengejutkan Perunding Reumatologi merangkap Presiden Yayasan Artritis Malaysia (AFM), Dr Amir Azlan Zain kerana rata-rata pesakit Malaysia adalah pemalu.


HILANG FUNGSI... jari tangan membengkok kerana RA kronik


PERLU RAWATAN... lutut membengkak kerana RA

Ramai tidak mahu penyakit mereka diketahui umum dan mungkin faktor ini menyebabkan tidak sampai 50 peratus pesakit tampil mendapatkan rawatan.

Apabila satu-satu penyakit dirahsiakan, maklumat mengenainya tidak dapat disampaikan kepada masyarakat. Tidak hairan jika masih ramai anggota masyarakat tidak tahu mengenai kewujudan penyakit ini walaupun RA dikategorikan sebagai antara penyakit utama dalam rangkaian masalah artritis (sakit sendi) yang menyebabkan kehilangan keupayaan.

Ada pesakit menganggap RA sebagai penyakit misteri kerana gejala sakit sendi datang dan pergi. Tidak kurang menyifatkan gejala RA disebabkan masalah ‘angin dalam badan’ yang akan hilang sendiri tanpa menyedari penyakit ini boleh menyebabkan kerosakan kekal pada sendi jika terus dibiarkan tanpa rawatan.

RA adalah penyakit kronik yang dialami lima dalam 1,000 penduduk dewasa di negara ini atau satu peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, lebih 50 peratus pesakit RA terpaksa berhenti kerja dalam tempoh 10 tahun sebaik menghidap penyakit ini — yang menandakan RA boleh menyebabkan seseorang itu hilang keupayaan jika tidak diberikan rawatan pada peringkat awal, iaitu sebaik penyakit dikesan.

Menurut Dr Amir, RA adalah penyakit auto imun yang berlaku apabila sistem imun badan mengalami kecelaruan dan mula menyerang sendi pesakit sehingga boleh menyebabkan kerosakan. Sistem imun badan menyerang mana-mana sendi pesakit, terutama pada pergelangan tangan dan kaki, lutut serta semua jari.

Serangan sistem imun yang berterusan boleh menyebabkan sendi mengalami keradangan, bengkak dan rosak sehingga mengubah bentuk asal anggota pada sendi berkenaan. Pada masa sama, ia boleh menyerang organ lain seperti paru-paru, salur darah dan sistem saraf.

RA lebih kerap berlaku pada wanita (75 peratus) dalam lingkungan umur 30 hingga 50 tahun. RA adalah sejenis penyakit sendi yang serius.

Hampir 80 peratus pesakit RA mula menunjukkan kesan kerosakan sendi dalam masa dua tahun. Masalah ini menjadi lebih buruk dan boleh berakhir dengan kecacatan jika pesakit tidak mendapatkan rawatan secepat mungkin.

Perkara inilah yang dialami sebahagian daripada wira dalam senarai di atas.
Annie Hay berkata, dia mula mendapatkan rawatan selepas mendapat nasihat pengurus sumber manusia di pejabatnya yang melihat dia berjalan terdengkot-dengkot.

Rawatan diterima membolehkan dia meneruskan hidup seperti biasa hinggalah Hay terpengaruh dengan cerita kawan untuk mencuba rawatan alternatif.

“Sekarang saya sedar, itu pilihan paling teruk kerana selama 10 bulan mencuba rawatan tradisional herba Cina, penyakit saya menjadi sangat aktif.

“Tidak saya sangka keputusan itu menyebabkan saya kehilangan tulang rawan di lutut. Saya tidak boleh berjalan kerana rasa sangat sakit apabila tulang di lutut bergesel antara satu sama lain sehingga saya pesan pada kawan supaya kerap menelefon bagi memastikan saya masih hidup.

“Selepas menjalani pembedahan penggantian lutut, baru saya boleh kembali bekerja. Namun banyak perubahan perlu saya buat, terutama peralatan penting dalam rumah, kerana ketika itu sendi kecil seperti jari juga mengalami keradangan.

“Untuk buka pintu pun kadangkala saya tidak mampu kerana tidak boleh menggerakkan pergelangan tangan. Jadi kena tukar tombol pintu daripada bentuk bulat kepada bentuk bertangkai,” katanya.

Hay mengakui, memang RA mengehadkan pergerakan pesakit tetapi ada kala dia tahan rasa sakit untuk melakukan perkara yang sangat disukainya — menari.

Ada RA atau tidak, Hay tetap akan menggoyangkan badan, apatah lagi apabila terdengar lagu berentak cha cha dan twist.

Bagi ahli perniagaan, Ding Mee Hong, 49, yang disahkan menghidap RA ketika berusia 22 tahun, pada awalnya dia diberitahu penyakitnya disebabkan ‘angin’ dan mencuba pelbagai jenis ubat untuk menghilangkan angin. Bagi wanita aktif sepertinya, mengalami gejala RA membuatkan dia tertekan dan murung.

Lebih malang apabila semua rawatan dicubanya tidak berkesan dan Ding hanya mendapat rawatan sewajarnya pada 1990 — enam tahun selepas disahkan menghidap RA. Namun ketika itu RA sudah ‘memakan’ dan menyebabkan kecacatan sendi jari tangannya.

“Masa itu hidup saya sangat bergantung pada ubat. Mana tidaknya, seluruh badan sakit. Kalau terjaga tengah malam pun, saya perlu makan ubat tahan sakit supaya boleh tidur semula. Ada masanya saya tidak boleh bangun langsung dan penyakit ini membuatkan saya menangis setiap hari. Rasa sangat kasihan pada diri sendiri.

“Namun sampai bila saya harus menangis? Menangis hanya membuatkan hidup saya bertambah sedih. Berulang kali saya katakan pada diri sendiri, yang saya perlukan ialah kegembiraan.

“Saya melawan penyakit dengan ketawa. Saya bersyukur dikelilingi keluarga dan rakan yang sering membuat saya ketawa. Walaupun rasa sakit, saya tidak boleh jadikannya alasan untuk malas. Sebenarnya keadaan saya jauh lebih baik berbanding orang lain,” katanya.

Malah suaminya, Chew Cheng Chuan, tidak pernah menganggap penyakit ini sebagai masalah walaupun terpaksa mendukung isteri naik dan turun tangga, terutama apabila Ding mengalami serangan RA. Sebagai balasan, Ding memasak sajian enak untuk suami dan dua anak lelakinya.

Chia Wei Yin, 18, tidak menganggap penyakit artritis juvana idiopatik (JIA) yang dihidapinya sejak berusia dua tahun sebagai penghalang untuk berjaya dalam pelajaran.

Setiap hari Chia bertekad mencuba menjadi anak dan pelajar lebih baik dan terus membuktikan dia juga berkebolehan, boleh diharap dan bercita-cita tinggi seperti orang lain.

“Sejak kecil lagi ke mana saja pergi, saya akan jadi perhatian orang. Jadi saya sudah lali. Mereka pandang sebab ingin tahu kenapa dan bagaimana saya jadi begini.

“Tidak mengapalah. Orang mungkin rasa kasihan tetapi keadaan saya (bertubuh kecil dengan sedikit kecacatan) ada kelebihannya. Apabila naik pengangkutan awam, saya selalu dapat tambang kanak-kanak. Untung juga!” katanya yang boleh menaip dan menulis dengan pantas walaupun semua jari tangannya bengkok.


My Wira

Kisah mereka dan ramai lagi wira artritis boleh dibaca dalam buku My Wira hasil usaha sama AFM, Abbott Laboratories (M) Sdn Bhd dan Persatuan Reumatologi Malaysia yang dilancarkan Timbalan Pengarah (Polisi) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Anjli Doshi-Gandhi.

Menurut Pengurus Besar Abbott Laboratories, Muru Annamalai, penerbitan buku berkenaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai RA supaya pesakit mendapatkan rawatan sewajarnya sebelum masalah bertambah buruk.

Selain pengalaman, buku berkenaan memuatkan pelbagai maklumat mengenai RA, panduan perubatan, permasalahan dialami pesakit serta resipi istimewa daripada pesakit dan doktor pakar reumatologi.

Anda boleh memiliki buku menarik ini melalui pendermaan minimum RM50 yang akan dimasukkan ke dalam AFM untuk membantu pesakit kurang berkemampuan. Untuk keterangan lanjut, sila layari laman web www.afm.org.my

Dr Amir berkata, kesan RA tidak hanya dirasai pesakit tetapi ia memberi pengaruh besar kepada keluarga. Malah pada wanita, kesan serangan RA biasanya lebih teruk berbanding lelaki.

Ini sebabnya penyakit yang boleh meragut keupayaan seseorang perlu diberi perhatian kerana ia boleh berlaku kepada sesiapa saja.

“Namun cabaran lebih payah ialah mengajak pesakit mendapatkan rawatan. Sehingga kini dianggarkan lebih kurang 1,000 pesakit saja datang berjumpa doktor.

“Bagaimanapun, angka ini mungkin tidak tepat kerana belum buat soal selidik di semua hospital, tetapi saya yakin jumlah pesakit yang menerima rawatan sewajarnya kurang daripada 50 peratus.

“Ada ujian mudah untuk mengetahui sama ada anda berkemungkinan mengalami RA atau tidak. Ia dinamakan ujian picit. Caranya picit merentas tapak tangan (antara hujung bawah jari kelingking ke bahagian antara ibu jari dan telunjuk). Jika terasa sakit, ia mungkin menandakan artritis reumatoid. Pergilah berjumpa doktor untuk pengesahan,” katanya.


Selain itu antara tanda yang perlu diperhatikan ialah:

- Sakit pada sendi, terutama sendi kecil seperti jari

- Sendi jadi bengkak dan terasa panas apabila disentuh

- Sendi jadi kaku, terutama pada waktu pagi (bangun tidur) atau selepas lama berehat

- Mengalami masalah untuk berjalan atau berjalan terdengkot-dengkot akibat sakit sendi

- Demam tanpa sebab munasabah. Pesakit turut berasa penat, sakit badan atau mendapat ruam ketika demam


Oleh kerana RA biasanya menyerang wanita pada peringkat umur penting (30 hingga 50 tahun), banyak persoalan dan kebimbangan yang timbul, khususnya berkaitan hubungan seks dan kehamilan.


Antara kebimbangan berkenaan ialah:

- Hubungan seks — Kesakitan, keletihan dan masalah pergerakan boleh menyukarkan hubungan seks tetapi ia boleh diatasi. Berbincang dengan pasangan untuk menyelesaikan masalah ini

- Penggunaan kaedah pencegahan kehamilan — Oleh kerana kebanyakan ubat untuk merawat RA boleh menyebabkan kecacatan pada janin, pesakit diingatkan mengambil langkah pencegahan bagi mengelak kehamilan yang tidak dirancang

- Adakah RA akan membahayakan kandungan? Tidak. Walaupun penyakit anda aktif (kerap mendapat keradangan dan serangan) ketika anda hamil, ia tidak akan menjejaskan atau memberi kesan kepada kandungan anda

- Berbincang dengan doktor jika mahu mengandung, sebaik-baiknya beberapa bulan lebih awal. Perkara ini sangat penting bagi membolehkan doktor mengubah pelan rawatan anda apabila diperlukan. Kehamilan biasanya memberi kesan positif kepada penyakit RA, sekurang-kurangnya untuk sementara. Kira-kira 70 hingga 80 peratus wanita berkata gejala penyakit mereka bertambah baik sepanjang tempoh kehamilan

- Perlu banyak bersabar — Kebanyakan pesakit RA mengambil masa lebih lama untuk berjaya hamil. Ini mungkin disebabkan proses ovulasi tidak teratur, kurang keinginan dan hubungan seks. Namun rawatan dapat membantu meningkatkan fungsi seksual dan mengurangkan gejala penyakit. Jika rawatan diambil dengan baik, kesuburan anda sama seperti wanita lain

Kebanyakan pesakit mengakui mengalami tekanan dan kemurungan apabila tidak lagi boleh melaksanakan tugas harian, termasuk perkara mudah.

Keadaan ini ada kalanya boleh mendorong kepada kemurungan dan rasa benci terhadap diri sendiri. Sebenarnya ada beberapa cara untuk memperbaiki keadaan:

- Fikirkan persekitaran kerja yang cekap supaya anda dapat mengurangkan kerja mengangkat dan membawa barang. Rancang kerja anda supaya tidak perlu banyak berjalan

- Dapatkan peralatan pejabat ergonomik untuk mengurangkan kesakitan. Contohnya bangku ergonomik yang mempunyai tempat merehatkan tangan dan boleh diubah ketinggian bagi mengurangkan tekanan pada lengan ketika menaip

- Ubah aktiviti secara berkala. Ia bertujuan menggerakkan sendi dan mengelak kesakitan akibat kekakuan sendi yang kerap berlaku akibat terlalu lama berada pada satu kedudukan. Elak duduk terlalu lama atau melakukan kerja sama berulang-ulang kali dalam tempoh lama

- Rancang kerja berdasarkan keutamaan tugas. Lakukan tugas penting dan utama terlebih dulu ketika anda masih kuat

- Pelajari cara menangani tekanan. Tekanan boleh merangsang serangan penyakit anda

- Sentiasa berfikiran positif dengan memberi fokus kepada kelebihan diri sendiri dan kurangkan memikirkan kekurangan diri


Ujian penilaian mudah

Memang tidak dapat dinafikan, wanita mempunyai daya tahan kesakitan tinggi dan sering gejala awal RA dianggap masalah biasa.

Di bawah adalah soalan yang boleh anda tanya pada diri sendiri sebagai ujian penilaian kemungkinan anda menghidap RA.

- Adakah anda mengalami kekakuan sendi melebihi 30 minit?

- Adakah anda berasa sakit pada jari tangan atau kaki melebihi enam minggu?

- Adakah kesakitan sendi berlaku pada belah kanan dan kiri (di tempat sama di kedua-dua belah)?

- Adakah anda sering berasa letih dan sukar menyiapkan tugas harian?


Jika mempunyai tiga jawapan ‘Ya’ kepada soalan di atas, anda disaran segera berjumpa doktor atau pakar reumatologi untuk pemeriksaan lanjut.

Sehingga kini 12 hospital kerajaan mempunyai perkhidmatan reumatologi iaitu Hospital Pulau Pinang; Raja Permaisuri Bainun (Ipoh), Hospital Selayang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Klang), Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Rawatan reumatologi juga ada di Hospital Tuanku Jaafar (Seremban), Hospital Melaka, Hospital Sultan Ismail (Johor Bahru), Hospital Tengku Ampuan Afzan (Kuantan), Hospital Sultanah Nur Zahirah (Kuala Teregganu), Hospital Raja Perempuan Zainab II (Kota Bharu), Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.msr.my or www.nsr.org.my

0 comments:

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

THERE ARE MORE HERE

 

Malay Mail Online

The Star Online: Most Viewed: Nation

NST Online: Topnews

The New York Times

The Washington Post

Gossip Cop

Harakahdaily

Malaysiakini

Harian Metro: BeritaUtama

Berita Harian: Mutakhir

Kosmo Online

CNN.com

Followers

Please leave your blog link

© Copyright 2010. insanidaily.com . All rights reserved | insanidaily.com is proudly powered by Blogger.com | Template by insanidaily.com - insanidaily.com