TERPACAK tegak matahari menyimbah cahaya, mimpinya belum berakhir. Biar cerah bersilau, ia tidak menghentikan lenanya. Terus dibuai seribu kebahagiaan, Sazzy Falak menyifatkan pengalaman indah ini bagai fantasi syurga tanpa penghujung.
Mana tidaknya, penantian sekian lama, akhirnya pelabuhan ini melengkapkan dirinya sebagai wanita, isteri dan insan. Anugerah istimewa buat perkahwinannya bersama suami tercinta, Nazril Idrus adalah berita dirinya hamil sepasang anak kembar.
Tidak siapa mampu mencoret perasaan ini, malah pernah terlintas di benak fikirannya, istilah mengandung anak kembar bagai satu ilusi yang sukar dipercayai, namun lama-kelamaan hubungan itu dapat dirasakan.
Lekas perutnya membuncit, sedar dalam leka, sekelip mata, kandungannya menjengah tujuh bulan. Sepantas itu juga si empunya nama sebenar Sazlini Shamsul Falak yang juga aktres dan pengacara ini tangkas membuat persiapan menyambut si comel yang bakal menyerikan rumah tangganya yang dibina hampir lima tahun lalu.
Menurut bintang filem Gol & Gincu, Tipu Kanan Tipu Kiri dan 4 Madu ini, rezeki yang datang adalah berkat doanya. Selepas puas merancang tiga tahun pertama meletak fokus pada kerjaya sebelum tumpuan membina keluarga baru, tiba masanya wanita lincah yang sinonim dengan karakter 'gila-gila' ini mengheret status yang canggung buatnya pada pandangan pertama.
Lama meneliti lenggok gayanya dan jauh ke dalam mata cantiknya, selebriti berusia 30 tahun yang bertubuh kecil molek ini sedia bergelar ibu.
"Anugerah ini adalah kurniaan yang tidak tergambar untuk diterjemah.
Alhamdulillah, apa yang saya dan suami inginkan direalisasikan dengan sempurna.
"Yang lebih penting adalah kesihatan saya dan juga anak kami. Bagaimanapun, ini adalah hadiah istimewa dalam perkahwinan kami berdua yang sentiasa diulit rasa cinta dan sayang.
"Jujurnya, sejak awal perkahwinan lagi, saya dan suami berbincang untuk memberi tempoh tiga tahun pertama bagi menumpukan kepada kerjaya masing-masing.
"Maklumlah saya sibuk dengan pengacaraan dan lakonan, suami pula gigih mengukuhkan perniagaannya. Justeru, memang perancangan yang kami berdua persetujui.
"Kemudian selepas masing-masing selesa dengan usaha serta fokus pada kerjaya, kami mula merancang membina keluarga dan sebenarnya ia tidak datang semudah itu kerana kami menunggu hampir setahun untuk menerima berita gembira ini pada Aidilfitri lalu.
"Alhamdulillah rezeki itu datang juga, saya dan suami sifatkan kegembiraan ini berganda kerana kami bakal menimang si kembar. Seronoknya, saya dan suami semakin erat bagai hari pertama bercinta dulu," selorohnya.
Ruang persoalan berikutannya dibuka luas, lantas terus diusik perubahan mereka berdua selepas menerima cenderahati indah ini. Anak seni kelahiran Kuala Lumpur ini menyifatkan Nazril adalah insan paling gembira sebaik mengetahui berita itu.
"Ketika doktor menghubungi kami sekeluarga bagi menyampaikan berita ini, Nazril terkejut dan tidak dapat menunjuk reaksi langsung namun ekspresi dalamannya melonjak tidak terkata.
"Sebenarnya, sudah lama Nazril berbisik inginkan anak selepas melihat ramai temannya bergelar bapa. Memang saya akui ada kalanya timbul juga rasa sunyi, namun usaha yang kami letakkan belum mudah diberikan jalan.
"Kini saya bersyukur dengan ketentuan dan pastinya buat Nazril, ia bagai bulan jatuh ke riba. Impiannya terlaksana dan saya sifatkan anak pelengkap sebuah perkahwinan.
"Jika dilihat pada perspektif layanan dan perubahan pada Nazril, tidak banyak kerana sejak dulu, dia memang seorang yang budiman dan sentiasa meletakkan saya di atas.
"Mungkin sebelum ini dia terbiasa melihat saya lincah dan aktif, dan itu adalah perkara utama yang ditekankannya kerana bimbang saya terlupa akan kandungan.
"Mana tidaknya, pernah satu ketika, saya dengan selambanya bergurau, berlari dan bergerak aktif, seolah-olah seperti dulu kerana itu adalah personaliti diri, jadi dia dan keluarga sentiasa mengingatkan saya.
"Bayangkan, dia akan memimpin saya turun tangga dan membuat semua kerja bagi meringankan beban saya. Saya bersyukur mencintai lelaki penyayang sepertinya," katanya tersenyum.
Fikiran pemegang anugerah Aktres Pembantu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19 ini ligat memikirkan soal esok. Baginya, merancang dan memikirkan pelan mendatang adalah penting bagi mencatur langkah supaya tidak mudah tergelincir.
Mengikat perkahwinan selepas betul-betul mengenali si suami, merancang bersama bagi mengembangkan kerjaya hingga kini memikirkan soal masa depan si kecil yang masih lena menanti detik mengenali dunia.
Awal-awal lagi, jelasnya, mereka suami isteri bersiap menanti kehadiran orang ketiga yang bakal menyerikan rumah tangga. Enggan meletak harapan terlalu tinggi kerana bimbang tidak sempurna seperti dijangka, namun bagi Sazzy, dengan adanya perancangan awal, setidak-tidaknya mereka dapat membayangkan masa depan si kembar.
"Sejak dulu saya gemar letakkan sasaran dan perancangan. Justeru meskipun masih kuat mengendong kandungan, saya dan suami tidak sabar-sabar membuat serba sedikit persiapan yang termampu.
"Saya bersyukur kerana ada tempat rujukan iaitu teman baik seperti Aishah Sinclair dan Dynas Mokhtar yang boleh membantu saya mengurangkan kebimbangan dalam menguruskan soal anak nanti. Banyak yang saya tanya dan mereka juga tidak jemu-jemu memberikan tips.
"Saya gemar membaca, dan peluang berehat di rumah ini saya peruntukkan dengan membaca serta merujuk semua bahan ilmiah berkaitan bagi menambah sedikit pengetahuan menjelang fasa baru dalam hidup ini. Barangan bayi juga sudah kami sediakan dan keluarga kami berdua juga banyak membantu menguruskan pelbagai aspek.
"Malah ketika menjalani penggambaran drama Dan Sebenarnya kebetulan bersama suami di Dublin, Disember lalu, kami sempat mencuri peluang membeli-belah barangan bayi di kota London. Maklumlah, London memang syurga jika ingin mendapatkan pelbagai barangan bayi dengan harga yang jauh lebih murah.
"Kelakarnya, soal pendidikan serta persekolahan anak juga sibuk saya fikirkan. Namun saya pesan kepada suami, jika anak kami lelaki, dia perlu menunjukkan sikap budiman itu berganda kerana saya mahu mereka menjadi insan penyayang dan bijak menghargai orang lain seperti mana ayahnya. Namun jika anak itu perempuan, sudah tentu tanggungjawab itu lebih berat kepada saya.
"Bagaimanapun, yang lebih kami pentingkan, kesihatan anak itu nanti, soal jantina tidak menjadi masalah," katanya yang kini mengurangkan aktiviti seni.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
2 days ago
0 comments:
Post a Comment