RM7 juta mengalir setiap hari ke negara jiran
KERAJAAN akan meneliti kesan perbuatan sesetengah rakyat Malaysia yang dilaporkan aktif berjudi di kasino Singapura dengan nilai pertaruhan dianggarkan kira-kira RM7 juta sehari, sebelum memutuskan sebarang langkah sesuai menanganinya.
Sambil mengakui judi meninggalkan kesan buruk ekonomi dan sosial, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan tiada kuasa menghalang rakyat bercuti ke luar negara, termasuk berjudi di negara asing.
“Jika ditanya secara peribadi pun, kita tidak menggalakkan sesiapa pun berjudi di dalam negara mahu pun di negara jiran kerana memberi kesan buruk seperti pengaliran wang ke negara asing selain masalah sosial.
“Di Malaysia ada sekatan yang tidak membenarkan orang Islam berjudi. Namun di Singapura, tiada sekatan antara orang Islam dan bukan Islam berjudi.
“Kita perlu meneliti perkara ini sebelum memutuskan langkah seperti bayaran levi kepada rakyat yang berjudi ke sana,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Bogor, kira-kira 48 kilometer dari Jakarta, semalam.
Muhyiddin yang mengakhiri lawatan kerja empat harinya ke ibu negara Indonesia itu sejak Rabu lalu, mengulas kemungkinan kerajaan mengenakan sekatan atau levi ke atas rakyat Malaysia yang berjudi di Singapura.
Dua hari lalu Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Sebatang, Johor, Datuk Tee Siew Kiong menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif bagi mengawal aktiviti judi rakyat tempatan di kasino negara jiran itu.
Dianggarkan 3,000 orang mengunjungi Singapura untuk berjudi setiap hari dengan nilai perbelanjaan minimum RM2,400 seorang.
Selain itu, mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mahukan kerajaan mengkaji semula kurikulum subjek Sejarah sebelum mewajibkan mereka lulus mata pelajaran itu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2013, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ia bukan masalah.
“Kita mempunyai tempoh dua tahun untuk meneliti semua aspek berkaitan. Saya sudah mengarahkan jawatankuasa khas ditubuhkan yang dianggotai sejarawan, penganalisis dan wakil kaum,” katanya.
Mengulas lawatan ke Jakarta, Muhyiddin menyifatkannya sebagai bermakna bagi mendekati secara langsung dengan tokoh usahawan dan pelabur berpengaruh di Indonesia.
“Lawatan itu juga membolehkan kita memahami dengan lebih mendalam pandangan tokoh korporat Indonesia ini serta kerjasama yang boleh dijalin. Mereka berminat tetapi selama ini menganggap kita tidak mengalu-alukan kehadiran mereka,” katanya.
Perkhemahan Sunnah dan Konvokesyen sunnah?
4 days ago
0 comments:
Post a Comment